SUMBANGAN KEPADA BAKAL USAHAWAN SELANGOR
Penerima pengadun tepung bersama Mustaffa Kamil (duduk 4 dari kiri), Mohd Fauzi (duduk 3 dari kiri) dan YB Azmin (duduk 3 dari kanan)
Ulu Kelang: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah menyumbangkan pakej bantuan perkakasan pengadun tepung bernilai RM39,600 kepada 33 orang peserta Kursus Pembuatan Bakeri di bawah program Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) di Akademi Kampus Bakeri Ria, Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Majlis penyerahan mesin pengadun tepung telah disempurnakan oleh Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Lembaga Pengarah Perangsang Selangor dan disaksikan oleh Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Gombak serta Mohd Fauzi Mohd Ghazali, Pengurus Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor.
"Sumbangan perkakasan ini merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor bagi membantu suri rumah dan golongan berpendapatan rendah memulakan perniagaan sendiri. Kami percaya dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, suri rumah akan dapat menjana pendapatan menerusi perniagaan bakeri" kata Mustaffa.
Penerima-penerima pengadun tepung merupakan peserta Kursus Keusahawanan Bakeri yang telah dijalankan selama 30-hari. Kos keseluruhan bagi penganjuran kursus mencecah RM180,000 dibiayai sepenuhnya oleh Perangsang Selangor.
![](/images/CSR/2014/jun_290614-02.jpg)
"Saya rasa amat bertuah kerana dapat mengikuti kursus kemahiran secara percuma dan dapat pengadun tepung. Buat permulaan, saya akan menjalankan perniagaan kek cawan dari rumah dan mempromosikannya melalui Facebook (uli-uli cakes)" kata Farah Izyan Adnan, 28 tahun.
![](/images/CSR/2014/jun_290614-03.jpg)
Seorang lagi peserta RKRS, Rahimah Ahmad Nuraini, 32 tahun berkata, "Saya amat bersyukur dengan bantuan perkakasan pengadun tepung ini. Kerja membuat kuih akan menjadi semakin mudah dan menjimatkan masa". Rahimah telah mula berniaga dan sekarang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan dengan menjual kuih muih tradisional, biskut dan roti jala di sekitar Shah Alam. Selain itu, Rahimah juga bercadang untuk menjual kuih raya sempena sambutan Aidilfitri.
RANGSANGAN KERJAYA RAKYAT SELANGOR (RKRS)
Perangsang Selangor telah membelanjakan lebih RM3.2 juta bagi melaksanakan program RKRS yang merangkumi kursus meningkatkan kemahiran dan pembangunan keusahawanan serta penyediaan latihan sambil kerja, penginapan dan makanan kepada lebih 1,000 orang peserta di Selangor.
Selain itu, Perangsang Selangor juga telah membelanjakan sebanyak RM159,393.00 untuk pembelian haiwan penternakan bernilai RM45,000, perkakasan percetakan bernilai RM45,000, perkakasan pengadun tepung bernilai RM39,600 dan mesin jahit bernilai RM29,793 yang dibekalkan kepada peserta untuk memulakan perniagaan sendiri.
Kursus meningkatkan kemahiran yang telah dilaksanakan adalah seperti, kursus Pemeringkatan Marin, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengurusan dan Operasi Halal dan Aplikasi Adobe Photoshop dan Aplikasi Microsoft. Kursus pembangunan keusahawanan yang telah dijalankan pula adalah seperti, kursus Percetakan Segera, Jahitan Pakaian, Penternakan Haiwan, Bakeri dan Kerjaya Mutawif.