Thursday, 05 November 2015
SK Seksyen 20 Rangkul Piala Raja Muda Selangor Kali Ke 8
SHAH ALAM, 5 November 2015: Edisi ke 28 Piala Raja Muda Selangor menyaksikan pasukan SK Seksyen 20 Shah Alam merangkul kejuaraan buat kali ke 8 apabila berjaya menundukkan SK Seksyen 24 Shah Alam 2-1 bertempat di padang SUK, Shah Alam.
Pemain-pemain dan pegawai pasukan SK Seksyen 20 meraikan kejuaraan.
Gol-gol telah dijaringkan oleh Muhammad Faiz Amer Runnizar dan Muhamad Fareez Iqhmal Nazarudin pada separuh masa pertama dan kedua perlawanan bagi memastikan kemenangan buat Seksyen 20 manakala gol saguhati SK Seksyen 24 dijaringkan oleh Muhammad Raziq Rafi menerusi sepakan percuma pada separuh masa kedua.
Menurut jurulatih SK Seksyen 20, Noor Azman Hashim berkata, “Saya amat gembira dan berpuas hati di atas kemenangan ini selepas kali terakhir kami bergelar juara pada tahun 2010. Syabas dan tahniah kepada semua pemain”.
“Kami kurang bernasib baik kerana telepas peluang untuk merangkul kejuaraan. Pemainpemain juga gagal memanfaatkan peluang apabila dua cubaan kami terkena palang gol”, jelas jurulatih SK Seksyen 24, Muhamad Asyraf Mokhtar.
Majlis penyerahan hadiah dan piala kejohanan telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Perlawanan akhir turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Piala Raja Muda Selangor, Dato’ Emran Kadir dan Pengerusi Perangsang Selangor, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin.
Selaku juara, SK Seksyen 20 menerima hadiah wang tunai RM4,000 termasuk piala pusingan, piala iringan, pingat dan sijil manakala naib juara menerima RM3,000 beserta pingat dan sijil. Penjaga gol terbaik dimenangi oleh Ahmad Uday Zidane Ariffin (SK Seksyen 20), penjaring terbanyak bersama dengan jumlah 7 jaringan menjadi milik Nik Mohd Aliff Muhamad Radzilan (SK Seksyen 20) dan Muhammad Aliff Izwan (SK Seksyen 24) manakala pemain terbaik perlawanan akhir ialah Muhammad Faiz Amer Runnizar (SK Sekysen 20).
Sementara itu, di dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, pasukan SK Puchong Perdana telah menumpaskan pasukan SK Taman Alam Megah 2-0 dan selaku pemenang tempat ketiga SK Puchong Perdana membawa pulang RM2,000, pingat dan sijil manakala keempat menerima RM1,000, pingat dan sijil.
Kejohanan Piala Raja Muda Selangor telah diilhamkan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada tahun 1988 selaku Raja Muda Selangor ketika itu bertujuan untuk mencungkil bakat pemain bola sepak bawah 12 tahun negeri Selangor. Kejohanan kali ini menyaksikan penglibatan seramai 576 pemain bola sepak daripada 32 sekolah kebangsaan di bawah PPD Petaling Perdana dan PPD Petaling Utama.
Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) muncul sebagai penaja utama kejohanan dengan jumlah RM100,000.
Sekian
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi