Sunday, 15 November 2015
400 Sertai Kayuhan Rentasi Bandar Raya Shah Alam
SHAH ALAM, 15 November 2015: Kira-kira 400 peminat sukan berbasikal terdiri daripada pelbagai lapisan umur telah menyertai acara Perangsang Fun Ride sejauh 29km atas jalan raya mengelilingi bandar raya Shah Alam.
Acara berbasikal itu dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Perangsang Selangor (KELAB) dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (PBNS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurut Presiden KELAB, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, “Acara yang diadakan buat julung kali itu bertujuan untuk memupuk gaya hidup sihat disamping menjalinkan hubungan rapat dengan penduduk setempat. Selain itu, peserta yang datang dari luar dapat melihat Shah Alam sebagai bandar raya yang indah, selesa, selamat dan sesuai untuk beriadah”.
“Selain Fun Ride, kami turut mengadakan sesi klinik berbasikal yang meliputi program kesedaran dan informasi yang telah dikendalikan oleh bekas jaguh lumba basikal negara Mohd Mahazir Hamad dan Hadi Putra Ismail”.
“Kayuhan telah bermula dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan perjalanan basikal merentasi lokasi strategik seperti pusat bandar raya, kawasan perindustrian seksyen 15, seksyen 20, seksyen 16 dan pusat komersil seksyen 7”, tambah Mohd Fauzi.
Upacara pelepasan kayuhan telah disempurnakan oleh Pengerusi Perangsang Selangor, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin dan disaksikan oleh Setiausaha PBNS, Amrun Misnoh dan Pegawai Belia dan Sukan MBSA, Jaid Idham Idris.
Turut serta di dalam acara kayuhan itu, penerima anugerah olahragawan kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukan Sea di Brunei pada tahun 1999, Shahrul Neeza.
73 peserta bertuah turut membawa pulang hadiah-hadiah menarik seperti basikal Ghost bernilai RM4,000, TV LED 40”, telefon pintar SAMSUNG dan ASUS dan pelbagai peralatan elektrik.
Sekian
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi