Saturday, 05 December 2015

160 Pemain Bola Sepak Cilik Tonjol Bakat

SUBANG JAYA, 5 Disember 2015: Seramai 160 pemain bola sepak bawah 11 tahun daripada 16 akademi dan persatuan sekitar Selangor telah menyertai kejohanan bola sepak Piala Uniti Perangsang Selangor 2015 bertempat di Stadium Mini, SMK USJ 23, Subang Jaya.

Kejohanan dianjurkan sempena musim cuti sekolah oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) dengan kerjasama Munro Sports dimana pasukan tebahagi kepada 4 kumpulan melibatkan perlawanan 7 sebelah yang diadakan secara liga dan juara serta naib juara layak ke peringkat kalah mati.

Menurut Pengurus Kanan, Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, “Kejohanan yang julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Sukan Untuk Semua di bawah program pembangunan sukan Rangsangan Sukan Selangor (RSS) yang telah bermula sejak 2014 bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan kanak-kanak menonjolkan kemahiran disamping mencungkil bakat pemain bola sepak dari peringkat akar umbi”.

“Kanak-kanak ini juga dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang sihat seperti bermain bola sepak serta beriadah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di karnival yang kami anjurkan”, tambah Mohd Fauzi.

Selain pertandingan bola sepak pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga turut dianjurkan seperti senamrobik, jualan ‘food truck’ dan juga perlawanan pertunjukan di antara dua pasukan bawah 16 iaitu Perangsang Munro Kickers menentang Ombak FC. Pasukan Perangsang Munro Kickers yang menjuarai kejohanan Piala Borneo pada September lalu merupakan pasukan elit Perangsang Selangor yang telah digilap dan dibentuk oleh Munro Sports sejak tahun 2014 manakala Ombak FC adalah juara bagi program Kem Bola Sepak Allianz dan pasukan pilihan MILO untuk rancangan Takkan Gentar di Astro Arena.

Sepanjang tahun 2015, Perangsang Selangor telah membelanjakan dana sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan program pembangunan bola sepak RSS yang telah dikendalikan oleh Munro Sports. Selain itu, Perangsang Selangor juga telah menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari dan Piala DYTM Raja Muda Selangor bernilai RM250,000 bertujuan untuk mengenal pasti bakat baharu pemain bola sepak remaja bawah 17 dan 12 tahun.

Sekian


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-6723632