Wednesday, 23 September 2015
Perangsang Munro Kickers Rangkul Piala Bola Sepak Borneo 2015
23 September 2015, KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak bawah 16 tahun Perangsang Munro Kickers (PMK) yang bernaung di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah berjaya menundukkan pasukan tempatan Sabah Tunas Asas Bola Sepak Safa (TABS) Kota Kinabalu 1-0 menerusi gol sepakan penalti tambahan masa “sudden death” untuk menjuarai Kejohanan Piala Bola Sepak Borneo 2015.
Pemain dan jurulatih meraikan kemenangan bersama piala kejohanan.
Perlawanan akhir yang telah berlangsung di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, Sabah, terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa penuh dan masa tambahan. Penjaga gol pasukan PMK, Muhammad Aliff Aiman Mazlan, berasal dari Kajang, Selangor beraksi cemerlang dengan menyelamatkan percubaan TABS manakala gol telah dijaringkan pemain sayap Yus Hafiq Iqmal Yusri yang berasal dari Sepang, Selangor.
Sebelum itu, pasukan PMK bimbingan jurulatih, Hassnol Zamman, menumpaskan pasukan Sekolah Sukan SMK Datuk Peter Mojuntin Penampang dengan jaringan 1 gol tanpa balas untuk muncul juara kumpulan, manakala TABS menduduki tempat kedua selepas seri tanpa jaringan dengan SK Likas. Dua pasukan teratas kumpulan mara ke perlawanan akhir.
Sementara itu, penentuan tempat ketiga dan keempat pula menyaksikan Sekolah Sukan Datuk Peter Mojuntin mengalahkan SK Likas 1-0 juga menerusi sepakan penalti ‘sudden death’ manakala Jubilo mengalahkan TABS Menggatal 3-0 pada penentuan tempat kelima dan keenam.
“Pasukan ini terdiri daripada pemain remaja yang datang dari seluruh Selangor dan kami ke sini dengan sasaran untuk meraih kejayaan. Alhamdulillah saya amat gembira kerana pemain berjaya mengotakannya di perlawanan akhir” kata Hassnol sambil berterima kasih kepada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) di atas sokongan dan tajaan bernilai RM369,230 sejak tahun 2014.
Kejohanan anjuran Borneo Sports & Adventure Holiday telah berlangsung selama tiga hari bermula 20 September 2015 melibatkan pasukan bola sepak remaja dari Malaysia dan Indonesia.
Sekian
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi