Tuesday, 22 September 2015

Pencarian Bakat Baharu Sukan Skuasy

22 September 2015: Kejohanan Skuasy Tertutup Selangor 2015 yang berlangsung pada 22 September sehingga 26 September 2015 merupakan medan terbaik bagi mencungkil bakat pemain-pemain skuasy remaja di Selangor. Kejohanan kali ini disertai seramai 216 pemain remaja berumur di antara 9 hingga 19 tahun daripada kelab-kelab skuasy seluruh Selangor.

siaran akhbar kejohanan tertutup skuasy selangor 23Sep15

Pemain-pemain yang bakal beraksi pada kejohanan Skuasy Tertutup Selangor 2015 

Menurut Presiden Persatuan Skuasy Selangor, Farid Yunus, berkata, “Sambutan pada kejohanan kali ini amat menggalakkan berbanding tahun lalu iaitu hanya seramai 166 peserta. Salah seorang pemain yang dijangka mencuri tumpuan adalah Muhammad Harris Ramlee, 14 tahun yang telah menjuarai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa seperti Terbuka Australia, Terbuka Jepun dan Terbuka Borneo baru-baru ini”.

“Kejohanan ini merupakan pentas bagi pemain remaja mempamerkan kebolehan dan tahap kemahiran masing-masing. Pemain-pemain yang berjaya menjuarai kejohanan kali ini berpeluang untuk mewakili Selangor ke kejohanan sirkit kebangsaan dan SUKMA. Harapan kami agar dapat melahirkan jaguh-jaguh skuasy seperti pemain nombor satu negara Datuk Nicole David”, tambah Farid.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu bawah 9, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun. Hadiah-hadiah menarik menanti pemenang setiap kategori antaranya johan menerima pingat, wang tunai RM1,000 dan barangan tajaan, naib johan menerima pingat, wang tunai RM350 dan barang tajaan serta tempat ketiga menerima pingat dan wang tunai RM150.

Di majlis perasmian, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) diwakili oleh Pengurus Kanan, Tanggungjawab Sosial Korporat, Mohd Fauzi Mohd Ghazali hadir menyerahkan cek tajaan bernilai RM36,428 sebagai penaja utama kejohanan kepada Persatuan Skuasy Selangor selaku penganjur kejohanan.

siaran akhbar kejohanan tertutup skuasy selangor 23Sep15 2

Mohd Fauzi Mohd Ghazali (tiga dari kiri) menyerahkan cek tajaan kepada Farid Yunus (dua dari kanan)

Sekian


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Nik Ahmad Khusairi Nik Ibrahim
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 013-3882977