Saturday, 05 September 2015
Perasmian Piala Dato' Mokhtar Dahari
Shah Alam, 5 September 2015: Medan untuk mencungkil bakat pelapis bola sepak negeri Selangor untuk musim kedua bermula hari ini dengan perasmian Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang menyaksikan penyertaan remaja dari seluruh negeri.
Penganjuran piala berkenaan dimulakan dengan piala sumbangsih antara Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle menentang Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9. Ia dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan negeri Selangor YBhg Encik Zainuren Haji Mohd Nor di padang Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.
Sempena kejohanan pada kali ini penganjur turut mengelola Seminar Hala Tuju dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia bagi memberi pendedahan awal kepada bakat sukan bola sepak muda Selangor mengenai kerjaya dan masa depan sukan berkenaan.
Penganjuran musim 2015 bakal menyaksikan penyertaan seramai 576 pemain bola sepak di bawah 18 tahun mewakili 32 sekolah menengah daripada sembilan daerah dari seluruh negeri.
Seminar tersebut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan YBhg Dato’ Haji Emran Haji Kadir yang turut membuat pengenalan tentang sejarah Piala Dato’ Mokhtar Dahari.
Turut hadir ialah Penolong Pengurus Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) Encik Mohd Ismail Zam Zam sebagai wakil kepada penaja utama kejohanan.
Para sesi berkenan Perangsang Selangor turut memperkenalkan jersi tajaan yang akan digunakan oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir. Perangsang Selangor sebagai penaja utama Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari memperuntukkan RM150,000 untuk menjayakan kejohanan tersebut.
Berdiri: Dato’ Emran (3 dari kiri) dan Mohd Ismail (3 dari kanan) menunjukkan jersi tajaan Perangsang Selangor untuk 8 pasukan yang layak ke suku akhir.
Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, PPD Petaling Utama Perangsang Selangor bermula 5 September hingga 4 Oktober 2015.
Majlis Penyerahan Piala Dato’ Mokhtar Dahari ke bawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah diadakan di Istana Kayangan, Shah Alam pada 27 Ogos lalu. Piala berkenaan adalah sumbangan peribadi Sultan Selangor sebagai tanda sokongan dan mahu melihat kemajuan bola sepak negeri ini.
Hadiah menarik menanti empat pasukan terbaik kejohanan di mana johan akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 berserta medal dan piala pusingan. Naib johan RM7,000 beserta medal. Tempat ke-3 RM5,000 mana kala tempat ke-4 RM3,000 beserta medal dan sijil.
Sekian
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi