Wednesday, 22 April 2015

Perangsang selangor Taja Peralatan Kantin Bernilai RM400,000 bantu Sekolah Rendah Tamil Di Selangor

SHAH ALAM: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menerusi Program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS) telah menaja pemasangan dan pembekalan 180 meja dan 360 kerusi tahan karat untuk kegunaan kantin bernilai RM400,000 kepada 30 sekolah jenis kebangsaan (Tamil) di Selangor bertempat di SJK (Tamil) Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Sumbangan meja dan kerusi kantin ini telah disampaikan oleh YB Sivarasa Rasiah, Ahli Jawatankuasa Lembaga Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor kepada wakil-wakil sekolah jenis kebanggsaan (Tamil) terpilih di seluruh Selangor.

“Kami berharap sumbangan melalui kerjasama Yayasan Tamil Malaysia ini dapat membantu sekolah jenis kebangsaan Tamil menggantikan meja dan kerusi kantin lama kepada yang baharu dan lebih tahan karat seterusnya memberi keselesaan kepada murid-murid sekolah ketika waktu rehat serta meningkatkan imej kantin sekolah masing-masing”, kata Sivarasa Rasiah, Ahli Jawatankuasa Lembaga Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor.

Kerjasama kali kedua dengan Yayasan Tamil Malaysia ini merupakan kesinambungan daripada program penajaan pemasangan dan pembekalan 830 unit papan putih bernilai RM400,000 kepada 94 buah sekolah jenis kebangsaan (Tamil) di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak pada tahun 2012.

“Pada tahun 2014, Perangsang Selangor telah memberi sumbangan mesin jahit bernilai RM24,000 kepada 40 ibu tunggal, suri rumah daripada keluarga berpendapatan rendah masyarakat India bertempat di Pusat Khidmat ADUN Bangi. Selain itu, Perangsang Selangor juga telah menaja kos latihan menjahit berjumlah RM4,800 selama sebulan yang dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Prihatin Bangi”, tambah Sivarasa.

Di samping itu, Perangsang Selangor turut menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM11,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai (YM) Selangor, sebuah badan kebajikan bukan Islam (Tamil) yang menempatkan anak-anak yatim, anak-anak mangsa dera dan warga tua sakit yang diabaikan keluarga. Sumbangan bertujuan membantu mengurangkan beban membeli kelengkapan harian seperti makanan, pakaian dan katil. Terdapat empat rumah di bawah jagaan Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai (YM) Selangor iaitu Rumah Kanak-kanak Lelaki, Rumah Kanak-kanak Perempuan, Rumah Warga Tua Lelaki dan Rumah Warga Tua Perempuan.

Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS)

Program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS) merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor bertujuan untuk menyokong serta meningkatkan keprihatinan terhadap pembangunan sosial dan alam sekitar selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor iaitu membangunkan masyarakat cemerlang menerusi kehidupan yang lebih baik dengan mengukuhkan taraf ekonomi, sosial dan pendidikan.

Bagi tahun 2015, Perangsang Selangor telah memperuntukkan dana berjumlah RM1.55 juta bagi melaksanakan program-program RTMS yang merangkumi aktiviti agama dalaman dan luaran, sumbangan peralatan dan keperluan lain kepada badan kebajikan serta golongan kurang kemampuan, perkongsian strategik bersama badan bukan kerajaan bagi program berasaskan komuniti dan penganjuran aktiviti kemasyarakatan.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Nik Ahmad Khusairi Nik Ibrahim
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 013-3882977