Wednesday, 27 May 2015
Perangsang Selangor Sumbang RM30,000 Bina Bilik Terapi Pendidikan Khas ‘Azzahra'
27 Mei 2015: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah menyerahkan sumbangan bernilai RM30,000 kepada Sekolah Kebangsaan Raja Muda (Integrasi) Seksyen 4, Shah Alam untuk membina bilik terapi yang dinamakan sebagai ‘Azzahra’ bagi murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Guru Besar SK Raja Muda (Integrasi), Kamarruzaman Yahya ketika berucap di majlis perasmian yang telah berlangsung semalam berkata, “Sekolah kami telah memulakan sesi PPKI sejak tahun 1999, di mana murid berkeperluan khas dan istimewa berpeluang mengikuti program yang relevan dan sesuai agar potensi mereka dapat dioptimumkan bagi melahirkan insan berkemahiran seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka”.
“Buat masa ini, SK Raja Muda (Integrasi) mempunyai seramai 66 murid yang sedang mengikuti PPKI dan saya menyimpan hasrat agar bilik terapi ini dapat disiapkan sebelum bersara. Alhamdulillah, Perangsang Selangor tampil menghulurkan bantuan di saat-saat kami memerlukan dana bagi menampung kos pembinaan bilik terapi pendidikan khas Azzahra”, tambah Kamarruzaman.
Guru Besar SK Raja Muda (Integrasi), Kamaruzzaman Yahya
Di samping itu, Khairunnisa M Zain, ibu kepada murid darjah 4, Amar Ariz bin Abdul Muhaimin berkata, “Amar Ariz dikesan menghidap Autisme sejak berumur 1 tahun dan kami mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia setelah menamatkan pembelajaran di United Kingdom. Sejak mengikuti PPKI di sekolah ini, saya dapati perkembangannya amat menggalakkan kerana selain berupaya mengikuti pelajaran dengan baik, dia juga boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan lancar dan mengendalikan komputer. Saya berharap dengan adanya kemudahan baharu ini dapat memudahkan tugas guru-guru dan seterusnya memanfaatkan murid-murid pendidikan khas seperti Amar Ariz dalam menjalani proses pemulihan serta meningkatkan keupayaan mereka”.
Khairunnisa (kiri) bersama anaknya Amar Ariz (kanan) yang mempunyai minat di dalam pengendalian perisian komputer seperti Adobe Flash.
Majlis Perasmian Bilik Terapi Pendidikan Khas Azzahra telah disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, disaksikan oleh Guru Besar SK Raja Muda (Integrasi), Kamarruzaman Yahya, Penyelia Kanan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Habibah Ahmad dan Pengerusi PIBG SK Raja Muda, Mohd Zikrul Hakim Noor.
Mohd Fauzi (tengah) merasmikan Bilik Terapi Pendidikan Khas ‘Azzahra’ disaksikan oleh Kamarruzaman (kiri) dan Habibah (kanan).
“Perangsang Selangor sebagai salah sebuah anak syarikat kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf sosial masyarakat dan sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat di bawah Program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS). Dengan terbinanya bilik terapi pendidikan khas ini, guru-guru dan pelajar-pelajar pendidikan khas dapat menikmati suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa”, kata Mohd Fauzi.
‘Permata-permata’ SK Raja Muda (Integrasi) bersama guru-guru dan tetamu kehormat .
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi