Tuesday, 03 March 2015
44 Atlet Perangsang Selangor Terima Insentif RM33,150
Prosperity Toss of Abundance
SHAH ALAM: Seramai 44 atlet sukan renang, badminton, lumba basikal dan boling di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah menerima insentif berjumlah RM33,150 di majlis penyampaian Anugerah Rangsangan Sukan Selangor 2014 bertempat di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Shah Alam.
Sukan renang mengumpul insentif tertinggi menerusi 19 perenang dengan jumlah RM21,600, diikuti 10 atlet sukan badminton RM5,100, 9 atlet lumba basikal RM4,600 dan 6 atlet sukan boling dengan jumlah RM1,850.
Menurut YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin, Pengerusi Perangsang Selangor, berkata “Anugerah ini bertujuan meraikan dan menghargai sumbangan atlet-atlet yang telah berjaya mengharumkan nama Perangsang Selangor di kejohanan-kejohanan sukan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sepanjang tahun 2014. Selain itu, diharap langkah ini dapat menyuntik semangat juang atlet lain agar berusaha mencapai kecemerlangan di dalam apa jua sukan yang diceburi”.
“Pada tahun 2014, Perangsang Selangor telah membelanjakan dana berjumlah RM1.8 juta bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat RSS merangkumi lima jenis sukan iaitu, boling, badminton, renang, lumba basikal dan bola sepak yang melibatkan tiga komponen penting, kem bakat sukan, pembangunan pasukan elit dan penganjuran pertandingan sukan bola sepak bagi peringkat sekolah rendah dan menengah. Matlamat kami adalah untuk membantu melahirkan atlet sukan yang berwibawa untuk mewakili Selangor dan Malaysia suatu hari nanti”, tambah Raja Dato’ Idris.
Mendahului senarai penerima adalah atlet-altet sukan renang iaitu, Chan Jie dengan habuan sebanyak RM2,350 di atas pencapaian 7 pingat emas, 5 perak dan 2 gangsa, Rosalind Pang sebanyak RM2,200 menerusi 7 emas, 2 perak dan 5 gangsa, manakala Phee Jinq En dengan insentif sebanyak RM2,050 hasil pencapaian 6 emas, 5 perak dan 1 gangsa. Di antara kejohanan yang disertai adalah seperti SUKMA 2014, Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-57, Sukan Asia Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Scotland.
Sementara itu, Mohd Fitri Sharil daripada sukan lumba basikal menerima RM1,300 di atas pencapaian 2 pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa di Kejohanan SUKMA 2014, Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Kebangsaan dan Kejohanan Lumba Basikal Remaja Lebuhraya Sport Excel. Muhammad Atef Haikal daripada sukan badminton membawa pulang RM1,200 menerusi 3 emas, 2 perak dan 3 gangsa di Kejohanan Remaja Kebangsaan-100 PLUS, Kejohanan Badminton AR Golden Eagle dan Kejohanan MSSD. Bagi sukan boling, Muhammad Amirul Afif menerima RM750 di atas kejayaan merangkul 2 emas, 1 perak dan 2 gangsa di kejohanan seperti PBAP Bevida-Storm Masters Klasik Antarabangsa Filipina ke-17 dan Kejohanan Boling Antara Bandar Asean Peringkat Akhir Bawah Umur 22 Tahun pada 2014.
Majlis turut menyaksikan penyerahan cek tajaan bernilai RM1.4 juta oleh YB Amirudin Shari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor kepada enam kelab sukan iaitu Kelab Boling Seintak (boling), J World Sports (badminton), Supersharkz Swim School (renang), Persatuan Berbasikal Negeri Selangor (lumba basikal), Munro Sports (bola sepak) dan Persatuan Skuasy Selangor (skuasy) dan Jawatankuasa Induk Kejohanan Bolasepak Piala DYTM Raja Muda dan Piala Dato’ Mokhtar Dahari.
“Bagi program RSS 2015, Perangsang Selangor telah memperuntukkan RM250,000 untuk pembangunan sukan boling, RM800,000 keseluruhan untuk badminton, renang, lumba basikal dan bola sepak, manakala sebanyak RM100,000 lagi bagi pembangunan sukan baharu iaitu skuasy dan sukan lain yang akan dikenal pasti kelak. Selain itu, kami juga menyalurkan dana sebanyak RM100,000 bagi penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor yang melibatkan pelajar daripada 60 buah sekolah rendah di daerah Petaling Perdana dan Petaling Utama serta RM150,000 bagi penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah daripada 32 buah sekolah mewakili 10 daerah di seluruh Selangor”, kata YM Raja Dato’ Idris.
For media enquiries, please contact: