Tuesday, 24 April 2018
Perangsang Selangor Menang Anugerah Juri
Tengku Amir Shah (kiri) menyampaikan piala Anugerah Juri kepada Raja Dato’ Idris
SHAH ALAM, 24 April 2018: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah terpilih sebagai pemenang Anugerah Juri di Majlis Makan Malam Anugerah Sukan Negeri Selangor 2017 yang telah berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam. Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah mengiktiraf Perangsang Selangor selaku pemenang Anugerah Juri buat julung kalinya di atas kejayaan dalam mewujudkan pelbagai program pembangunan sukan terutamanya di peringkat akar umbi di negeri Selangor melalui pelaksanaan program ‘Sukan Untuk Semua’.
Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj turut berkenan menyampaikan piala Anugerah Juri kepada Pengerusi Perangsang Selangor, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin dan disaksikan oleh kira-kira 500 tetamu dalam majlis tersebut.
Program ‘Sukan Untuk Semua’ merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) anjuran Perangsang Selangor bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat menceburi serta mempelajari ilmu sukan, menggalakkan gaya hidup sihat serta mencungkil bakat-bakat baharu daripada peringkat akar umbi.
Pelajar-pelajar sekolah yang telah menyertai klinik sepak takraw Trio Impian Perangsang Selangor di SK Sijangkang Jaya, Kuala Langat
Pada tahun 2017, seramai 10,103 peserta yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, luar bandar dan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, golongan miskin, orang kelainan upaya serta orang asal dari seluruh negeri Selangor telah menyertai program tersebut.
Menurut Pengerusi Perangsang Selangor, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin, berkata “Sepanjang tahun 2017, Perangsang Selangor dengan kerjasama lapan penyedia latihan telah menganjurkan sejumlah 90 klinik sukan yang melibatkan perbelanjaan bernilai RM1.405 juta merangkumi sukan renang, sepak takraw, memanah, boling, bola sepak, lumba basikal, badminton dan skuasy di seluruh daerah. Selain itu, Perangsang Selangor turut menaja dua kejohanan bola sepak iaitu Piala Dato’ Mokhtar Dahari (B-18) serta Piala Raja Muda Selangor (B-12) bagi mengetengahkan pemain bola sepak remaja ke peringkat yang lebih tinggi”.
“Menerusi bimbingan jurulatih profesional, program Sukan Untuk Semua juga telah berjaya menggilap 174 bakat baharu untuk mewakili sekolah, negeri dan negara ke kejohanan sukan tempatan serta antarabangsa. Di samping itu, hasil dari Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari, seramai 38 pemain bola sepak telah diikat oleh beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab antaranya, Selangor, Johor Darul Takzim, Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) termasuk 2 pemain yang telah diserap ke pasukan kebangsaan”, tambah beliau.
“Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, Perangsang Selangor akan terus komited dalam meneraju pembangunan sosial dan masyarakat yang mampan selaras dengan pelan perniagaan Kumpulan”, ujar Raja Dato’ Idris.
Tamat…\
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi