Saturday, 12 May 2018

Piala Dato' Mokhtar Dahari Kekal Milik SMK Dato' Harun

siaran akhbar perlawanan akhir PDMD 12May18 (final)

SUBANG JAYA – Edisi kelima Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menyaksikan SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang muncul juara buat kali kedua berturut-turut setelah menumpaskan SMK Tropicana, Petaling Jaya dengan jaringan 7-0 di perlawanan akhir yang telah berlangsung di Stadium Arena, Majlis Perbandaran Subang Jaya pada Sabtu.

Penganjuran Kejohanan Piala Dato' Mokhtar Dahari (PDMD) telah mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada 32 pasukan bertanding yang terdiri daripada seramai 576 pelajar-pelajar berusia bawah 18 tahun.

Pada 2014, Kejohanan PDMD hanya melibatkan sekolah menengah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama.

Namun begitu, bermula 2015 hingga kini, kejohanan itu telah diperluaskan ke seluruh Selangor di mana tiga pasukan terbaik yang mewakili 10 PPD Selangor dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sekolah Daerah Selangor (MSSD-U18) layak untuk menyertai PDMD.

Pengerusi Kejohanan PDMD, Dato’ Emran Kadir berkata, objektif penganjuran kejohanan itu adalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak dalam kalangan pelajarpelajar sekolah seluruh Selangor.

"Sebenarnya, banyak kelab-kelab bola sepak di luar sana memang menantikan kejohanan ini sebagai sumber untuk mereka mendapatkan pemain-pemain baharu daripada peringkat akar umbi. Malahan kejohanan tahunan ini amat dinantikan oleh pemain sekolah-sekolah di Selangor melalui kelayakan di peringkat daerah(MSSD)”.

"Sehingga siri keempat penganjuran kejohanan ini, dianggarkan seramai 94 orang pemain telah dilahirkan dan kini bermain untuk kelab-kelab utama dalam negara ini".

Mengulas lanjut mengenai kejohanan itu, Emran berkata pada tahun ini juga, pihaknya akan turut menganjurkan kejohanan bola sepak bagi kategori bawah 15 tahun yang dijangka bermula selepas peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Buat masa ini, Emran berkata pihaknya telah mendapat tajaan sebanyak RM30,000 dan beliau memerlukan sekitar RM70,000 lagi bagi menjayakan kejohanan itu.

"Saya dah berjumpa dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubung perkara ini dan kami positif bakal terima tajaan lagi selepas ini", katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi, Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata, kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Jelasnya, sejak penganjuran edisi pertama sehingga kini, Perangsang Selangor telah mengambil inisiatif untuk menaja kejohanan PDMD dengan dana berjumlah RM700,000 dalam usaha untuk menggilap bakat pemain bola sepak remaja ke peringkat yang lebih tinggi.

"Untuk tahun ini, pihak kami juga telah menyuntik dana sejumlah RM150,000 untuk menaja kejohanan itu", ujar beliau.

Di samping itu, Suzila berkata, Perangsang Selangor juga telah bermula aktif dengan program-program CSR melalui Rangsangan Sukan Selangor (RSS) sejak 2011 dengan perbelanjaan sekitar RM30 juta.

Oleh yang demikian, pihaknya berharap agar dapat terus bekerjasama bagi menyokong pembangunan sukan di Selangor bukan sahaja dalam bola sepak namun turut melibatkan sukan-sukan lain.

"Di bawah RSS, terdapat lapan sukan-sukan lain antaranya bola sepak, boling, renang, badminton, berbasikal, skuasy, sepak takraw dan memanah.

"Inisiatif kami turut diiktiraf dengan penganugerahan daripada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) atas pembabitan kami dalam pembangunan sukan", katanya.

Di perlawanan tempat ketiga dan keempat, pasukan SMK Tinggi Kajang berjaya menewaskan SMK USJ13 dengan keputusan 2-0. Juara bagi kejohanan PDMD membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 beserta piala dan pingat, manakala tempat kedua RM7,000, ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000.

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-672 3632