Tuesday, 17 April 2018
Piala Sumbangsih Kejohanan Bola Sepak B-18 Piala Dato' Mokhtar Dahari Kekal Milik SMK Tinggi Kajang
Pasukan SMK Tinggi Kajang merangkul Piala Sumbangsih buat kali ke-3 berturut-turut setelah menewaskan juara bertahan SMK Dato’ Harun dengan keputusan 1-0.
SUBANG JAYA, 14 April 2018: Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang bermula pada 14 April 2018 bakal menyaksikan 576 pemain bola sepak bawah 18 tahun yang mewakili 32 pasukan dari 9 daerah seluruh Selangor berentap bagi merebut kejuaraan edisi ke-5.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim disaksikan oleh Pengerusi Kejohanan, YDH Dato’ Emran Kadir dan Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Mohd Fauzi Mohd Ghazali bertempat di padang Stadium Mini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), SMK USJ 23, Subang Jaya.
Ketika berucap di majlis perasmian, Dato’ Emran berkata, “Matlamat utama kejohanan adalah untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu pemain bola sepak remaja agar dapat diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dalam arena bola sepak Malaysia”.
“Lebih membanggakan menerusi kejohanan tahun lalu, seramai 38 pemain telah diikat oleh beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab antaranya Selangor, PKNS, Johor Darul Takzim, Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan juga Negeri Sembilan. Malah dua daripada pemain berkenaan telah diserap ke pasukan bawah 19 tahun kebangsaan”, tambah Dato’ Emran.
Kejohanan edisi 2018 masih mengekalkan penglibatan sekolah-sekolah dari 10 pejabat pendidikan daerah seluruh Selangor yang telah terpilih melalui Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD).
Perlawanaan akhir dijangka akan berlangsung pada 12 Mei 2018 jam 8.00 malam bertempat di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Hadiah menarik menanti empat pasukan terbaik kejohanan di mana johan akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 berserta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan. Naib johan RM7,000 berserta pingat dan sijil. Tempat ke-3 RM5,000 manakala tempat ke-4 RM3,000 berserta pingat dan sijil. Selain itu, terdapat juga anugerah Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak,Penjaga Gol Terbaik serta Pasukan Penyokong Terbaik yang akan ditawarkan.
Sempena kejohanan kali ini penganjur turut mengelola Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia bagi memberi pendedahan awal kepada jurulatih dan pemain bola sepak remaja Selangor mengenai kerjaya dan masa depan sukan berkenaan.
Sementara itu, di perlawanan pembuka tirai, pasukan SMK Tinggi Kajang telah berjaya menewaskan pasukan juara bertahan SMK Dato’ Harun Tanjung Karang dengan keputusan satu (1) gol tanpa balas sekaligus merangkul Piala Sumbangsih buat kali ke-3 berturut-turut.
Gol tunggal diperolehi menerusi jaringan Devekumaran Muniswaran pada minit ke-15 pada separuh masa kedua perlawanan.
Perangsang Selangor sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan dengan tajaan berjumlah RM150,000 buat kali ke-5 sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014.
Tamat…\
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi