Wednesday, 06 November 2019

DAWS diharap dapat atasi masalah bekalan air di Kedah – Mukhriz

 

 

ALOR SETAR, 6 Nov -- Kerajaan negeri Kedah berharap penubuhan Darul Aman Water Solutions Sdn Bhd (DAWS) dapat mengurangkan masalah Air Tidak Terhasil (NRW) yang menyebabkan negeri kehilangan sumber hasil selain masalah gangguan bekalan air kepada penduduk.

 

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pada tahun lepas, peratusan NRW antara 44.90 peratus hingga 50.3 peratus dicatatkan, dan perangkaan terkini pada Ogos tahun ini, jumlahnya adalah 49.31 peratus.

 

“Saya rasa setiap hari ada sahaja aduan yang diterima oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkaitan bekalan air terputus, paip pecah dan juga tekanan air rendah dan ia semakin memuncak ketika musim perayaan dan cuti persekolahan.

 

“Kerajaan negeri berharap dengan tertubuhnya Darul Aman Water Solutions ini, peratus NRW dapat dikurangkan dan ini tentunya dapat membantu mengatasi masalah tekanan air rendah yang disebabkan paip yang bocor,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) dengan Smartpipe Technology Sdn Bhd (Smartpipe) di sini, hari ini.

 

Perjanjian itu yang bertujuan menubuhkan DAWS bagi menyelesaikan masalah bekalan air negeri yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah Dr Mahadi Mohamad dan Pengurus Besar/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Bhd Ahmad Fariz Hassan yang mewakili Smartpipe.

 

Mukhriz berkata walaupun kerajaan negeri mendapat pinjaman dan geran daripada kerajaan pusat bagi menaik taraf lima loji rawatan air di Kedah, namun ia tidak dapat dimanfaatkan jika masalah NRW tidak dapat diselesaikan.

 

Menurutnya kerajaan negeri menerusi SADA komited memastikan bekalan air terawat mencukupi untuk keperluan rakyat dan berharap penubuhan DAWS itu dapat membantu SADA menyediakan bekalan air yang memuaskan.

 

“Sesuai dengan nama yang dipilih, saya harap Darul Aman Water Solutions dapat menjadi ‘solution provider’ kepada kelestarian bekalan air Kedah,” katanya.

 

Menerusi perjanjian usahasama itu, MBI Kedah akan memegang sebanyak 51 peratus ekuiti dalam DAWS, manakala Smartpipe memiliki 49 peratus.

 

http://www.bernama.com/state-news/beritabm.php?id=1787019