Monday, 21 October 2019

Geng Eco Frenz bersih pantai

LEBIH 300 KILOGRAM SAMPAH DIKUTIP MELALUI PROGRAM ANJURAN PERANGSANG SELANGOR, CPI BHD


Sinar Harian | 21 Oktober 2019


Kumpulan Belia 4B Sungai Batu ceria dapat menyumbang tenaga untuk program pemuliharaan alam sekitar.


Lebih 300 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip oleh 150 sukarelawan yang menyertai Eco Frenz Perangsang Selangor: Mengharmonikan Alam Semula Jadi yang diadakan di Pantai Teluk Bayu, di Bayan Lepas, Pulau Pinang Ahad lalu.

 

Program tersebut dianjurkan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) dengan kerjasama CPI (Penang) Sdn Bhd, Kariah, Persatuan Nelayan Sungai Batu dan Belia 4B Sungai Batu.

 

Teluk Bayu adalah lokasi ketiga selepas Johor Bahru dan Pulau Ketam, Selangor di mana, ketiga-tiga aktiviti melibatkan program alam sekitar antaranya penanaman pokok dan pengagihan sisa pepejal.

 

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, berkata kesemua sampah yang dikutip hanya terdiri daripada sampah yang boleh dikitar semula iaitu kertas, kaca dan plastik.

 

Menurutnya, jumlah sampah itu dikutip di sepanjang 250 meter kawasan pantai tersebut selama 30 minit.

 

"Program ini disertai 150 sukarelawan yang terdiri daripada komuniti setempat; pelajar universiti; pelajar sekolah, kakitangan Perangsang Selangor dan CPI (Penang) Sdn Bhd. Banyak aktiviti diadakan antaranya mengutip sampah sepanjang pantai ini.

 

Pelajar Sekolah Menengah Teluk Kumbar memasukkan sampah yang boleh dikitar semula ke dalam tong 3R.


"Selama 30 minit, kita berjaya mengumpul 343 kg sampah yang akan dikitar semula dan ini amat memberangsangkan kerana program kita ini, bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar tetapi lebih kepada mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Program Eco Frenz Perangsang Selangor di Pantai Teluk Bayu mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.


"Dengan adanya program ini juga, kita dapat mendidik masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan dan alam sekitar. Dari situ, mereka boleh mempraktikkannya dalam kehidupan seharian mereka," katanya pada siding media selepas Program Eco Frenz Perangsang Selangor, baru-baru ini.

 

Mohd Fauzi berkata, program tersebut merupakan usaha pihaknya dalam memelihara dan memulihara alam semula jadi.

 

"Sebagai sebuah badan korporat yang bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian dalam aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial, kita menganjurkan program seperti ini dengan kerjasama komuniti setempat dan CPI (Penang) Sdn Bhd.

 

"Di sini, kita memberi pendedahan berhubung penjagaan alam sekitar melalui amalan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal kepada masyarakat di Sungai Batu. Pendedahan ini diberikan kepada generasi muda dan nelayan demi masa depan yang lebih sihat dan bebas pencemaran," katanya.

 

Jelasnya, usaha menjaga alam sekitar perlu dijalankan secara berterusan dalam memastikan kawasan perairan tersebut terus dipelihara dan kekal untuk generasi akan datang.

 

"Kebersihan pantai amat penting agar ekosistem tidak terganggu dan dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Kita juga mahu masyarakat lebih peka dengan kesan pencemaran selain menerapkan budaya 3R (reduce, reuse dan recycle).

 

"Melalui aktiviti seperti ini, kita boleh memastikan mesej kesedaran sampai kepada sasaran kita. Dalam program ini juga Peransang Selangor menyerahkan 10 unit tong sampah kepada wakil penduduk Sungai Batu untuk kegunaan komuniti di sini. Selain itu, kita juga menyumbang 50 unit mangkuk tingkat kepada nelayan terpilih," katanya.

 

Mohd Fauzi berkata, siri program tersebut akan diteruskan di Kampung Sungai Sireh, Klang, Selangor pada pertengahan November ini dengan memberi penekanan kepada pembersihan tebing sungai.


Para sukarelawan dan wakil pengurusan Perangsang Selangor serta CPI Bhd melaungkan ikrar untuk terus memulihara alam sekitar.