Friday, 20 May 2016

Atlet RSS Cemerlang Di Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-39

SUBANG JAYA: Pemain boling remaja Nurul Ayunni Junaidi, 15 tahun, yang bernaung di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), telah berjaya menjuarai kategori Gred Wanita di Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-39 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung selama 9 hari bermula dari 27 April hingga 7 Mei 2016 itu melibatkan hampir 270 penyertaan dari beberapa kelab boling seluruh Malaysia, Singapura, Korea, Australia, Indonesia, Hong Kong, India, Thailand, Kuwait, USA, England, Phillipines, Chinese Taipei & Taiwan.

Di perlawanan akhir, Nurul Ayunni berjaya mengumpul sebanyak 1,644 jatuhan pin menewaskan pencabar terdekat Puteri Nurshahira juga dari Malaysia dengan jumlah 1,616 jatuhan pin yang meraih tempat kedua. Manakala seorang lagi wakil Malaysia, Erissa Sarah Che Ramli menduduki tempat ketiga dengan jumlah 1,570 jatuhan pin.

Selaku juara, Nurul Ayunni berjaya membawa pulang trofi kejohanan serta wang tunai berjumlah RM3,000.00

Remaja berbakat ini telah mengikuti latihan bersama pasukan elit Perangsang Selangor di bawah kendalian jurulatih profesional Razif Abu Bakar sejak tahun 2013. Sebelum ini, Nurul Ayunni juga telah menyertai beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan di antara pencapaian cemerlangnya adalah Johan kategori Bergu Wanita Wanita di Kejohanan Boling Tenpin MSSM (2015), Johan kategori wanita di Kejohanan Boling Tenpin Sirkit Remaja Kebangsaan 2015 (Sabah) serta Naib Johan di Kejohanan Boling Tenpin Sirkit Remaja Kebangsaan 2015 (Sarawak)

ends...


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Nik Ahmad Khusairi Nik Ibrahim
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 013-388 2977