Tuesday, 25 October 2016

40 Pelajar Asnaf Sertai Klinik Badminton Bersama Bekas Pemain Kebangsaan

siaran akhbar klinik badminton sukan untuk semua

Pelajar asnaf, jurulatih dan Jason (kemeja-t bewarna kuning) di program ‘Sukan Untuk Semua’ anjuran Perangsang Selangor di Bandar Utama baru-baru ini.

BANDAR UTAMA, 25 OKT’16: Seramai 40 pelajar daripada Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Ampang telah mengikuti klinik badminton yang dikendalikan oleh Jason Wong, bekas pemain perseorangan kebangsaan anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) di bawah program ‘Sukan Untuk Semua’ Rangsangan Sukan Selangor (RSS).

siaran akhbar klinik badminton sukan untuk semua 2

Ayu Anisha, 8 tahun, gembira apabila dapat berlatih di bawah bimbingan bekas pemain badminton kebangsaan.

Salah seorang peserta Ayu Anisha, 8 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah yang kali pertama menyertai klinik badminton berkata, “Saya amat meminati sukan badminton dan sering menonton Dato’ Wira Lee Chong Wei beraksi di kaca televisyen. Saya berasa amat teruja kerana diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke gelanggang dan mengikuti latihan bersama jurulatih profesional”.

“Selain mempelajari teknik memukul bulu tangkis, kami juga telah diajar kemahiran asas seperti pergerakan kaki di dalam sukan badminton”, tambah Anisha.

siaran akhbar klinik badminton sukan untuk semua 3

Jason menunjukkan teknik pukulan raket kepada pelajar asnaf.

Program yang telah diadakan di Dewan Komuniti Bandar Utama itu merupakan siri ke-2 program ‘Sukan Untuk Semua’ yang akan diperluaskan ke seluruh negeri Selangor bermula Oktober 2016 sehingga Februari 2017.

siaran akhbar klinik badminton sukan untuk semua 4

Jason Wong, bekas pemain perseorangan no-2 kebangsaan serta pemenang pingat perak di Sukan SEA (1997 dan 1999) dan Sukan Asia pada tahun 1999.

Menurut Jason Wong yang juga merupakan Pengarah Program berkata, “Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan, menanamkan minat serta membuka peluang kepada semua golongan masyarakat seperti anak yatim, golongan kurang kemampuan dan orang kelainan upaya untuk menceburi sukan badminton. Klinik pertama telah diadakan pada 6 Oktober yang lalu bersama 42 pelajar sekolah dari Kampung Orang Asli Sungai Melut dan Bukit Tampoi, Sepang dan program seterusnya akan diadakan bersama pelajar-pelajar autisme”.

“Secara keseluruhan, kami mensasarkan penglibatan seramai 720 peserta termasuk orang awam sepanjang program ini berlangsung. Kemuncaknya adalah acara bertemu peminat bersama personaliti badminton negara diikuti karnival badminton dimana pelbagai aktiviti menarik seperti pameran, taklimat oleh pemain badminton profesional, sesi autograf dan bergambar, cabutan bertuah serta perlawanan pertunjukkan bakal diadakan”, kata Jason.

Program ‘Sukan Untuk Semua’

Program ‘Sukan Untuk Semua’ merupakan sebahagian daripada program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor melibatkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.1 juta.

Matlamat utama program adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan pelajar dan golongan belia serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.

Program ‘Sukan Untuk Semua’ telah bermula sejak tahun 2014 dengan melibatkan seramai 3,432 peserta di dalam enam jenis sukan iaitu boling (258), renang (1,360), badminton (411), berbasikal (720), bola sepak (457) dan skuasy (226) menerusi 38 program yang telah dilaksanakan di seluruh daerah negeri Selangor.

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Shahrul Izad Yahya
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel : 012-2385866