Saturday, 27 August 2016

32 Pasukan Berentap Rebut Piala Dato' Mokhtar Dahari

Kejohanan Bola Sepak Cungkil Bakat Pemain Remaja

SUBANG JAYA, 27 OGOS 2016: Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang akan bermula pada 30 Ogos bakal menyaksikan 576 pemain bola sepak bawah 18 tahun yang mewakili 32 pasukan dari 9 daerah seluruh Selangor berentap bagi merebut kejuaraan edisi ke-3.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim disaksikan oleh Pengerusi Kejohanan, YDH Dato’ Emran Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Ahmad Fariz Hassan bertempat di Stadium Mini KPM, SMK USJ 23, Subang Jaya.

Ketika berucap di majlis perasmian, Pengerusi Kejohanan, YDH Dato’ Emran Kadir berkata, “Matlamat utama kejohanan adalah untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain remaja agar dapat diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dalam arena bola sepak Malaysia”.

“Semasa Piala Dato’ Mokhtar Dahari mula diperkenalkan pada tahun 2014, hanya dua Pejabat Pendidikan Daerah iaitu Petaling Utama dan Petaling Perdana dan di atas nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, jawatankuasa pengelola telah memperluaskan kejohanan ini ke seluruh daerah di negeri Selangor sejak 2015”, kata Dato’ Emran.

“Sebagai tanda sokongan dan kemahuan melihat pembangunan sukan bola sepak daripada peringkat akar umbi, DYMM Sultan Selangor juga telah berkenan menyumbang piala kejohanan yang kini menjadi rebutan pasukan bertanding”, tambah Dato’ Emran.

Tuan rumah bagi edisi kali ini ialah SMK La Salle dan perlawanaan akhir dijangka akan berlangsung pada 17 September 2016 bertempat di Kompleks Sukan MPSJ, Subang Jaya.

perasmian piala dato mokhtar dahari 27Ogos16

Ahmad Fariz (kiri) menyerahkan tajaan RM150,000 kepada Dato’ Emran (kanan) disaksikan oleh Mohd Salleh (tengah).

Pada sesi berkenaan, Dato’ Emran Kadir turut menerima cek tajaan bernilai RM150,000 daripada Perangsang Selangor, selaku penaja utama kejohanan ini bagi tahun ketiga berturut-turut. Perangsang Selangor juga turut memperkenalkan jersi tajaan yang akan digunakan oleh lapan pasukan yang layak ke perlawanan suku akhir.

Hadiah menarik menanti empat pasukan terbaik kejohanan di mana johan akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 berserta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan. Naib johan RM7,000 berserta pingat dan sijil. Tempat ke-3 RM5,000 manakala tempat ke-4 RM3,000 berserta pingat dan sijil. Selain itu, terdapat juga anugerah lain iaitu Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik (Tangan Emas).

Sempena kejohanan kali ini penganjur turut mengelola Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia bagi memberi pendedahan awal kepada pemain bola sepak remaja Selangor mengenai kerjaya dan masa depan sukan berkenaan.

Sementara itu, di perlawanan pembuka tirai bagi merebut Piala Sumbangsih, juara bertahan SMK Tinggi Kajang telah berjaya menewaskan pasukan tuan rumah SMK La Salle Petaling Jaya dengan keputusan 2-0.

perasmian piala dato mokhtar dahari 27Ogos16 2

Gol-gol SMK Tinggi Kajang diperolehi pada separuh masa kedua menerusi jaringan Aiman Ariff Suffian pada minit ke-65 dan Muhammad Ammar Fatyhin pada minit ke-72 tambahan masa kecederaan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih pegawai sukan daripada Akademi Bola Sepak Ajax Amsterdam, salah sebuah kelab bola sepak terkemuka di Eropah.

Sekian…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Shahrul Izad Yahya
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel : 012-2385866