Tuesday, 12 January 2016

Atlet RSS Juara Kejohanan Boling Antarabangsa Milo Ke-16

PETALING JAYA: Pemain boling remaja Wan Muhammad Naqib, 15 tahun, yang bernaung di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), telah berjaya menjuarai kategori Gred Lelaki Kejohanan Milo International Junior All Stars & The Masters 2015 ke-16 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung selama 13 hari itu melibatkan lebih 150 penyertaan dari beberapa kelab boling seluruh Malaysia dan juga 9 buah negara Asia antaranya Singapura, Korea, Japan, Australia, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Hong Kong.

Di perlawanan akhir, Wan Muhammad Naqib berjaya mengumpul sebanyak 2,215 jatuhan pin menewaskan pencabar terdekat Muhammad Hazim mewakili PSA dengan jumlah 2,214 jatuhan pin yang meraih tempat kedua. Tempat ketiga menjadi milik Keita Tokuhisa dari Jepun dengan jumlah 2,199 jatuhan pin.

Atlet RSS juara boling antarabangsa

Naqib (tengah) selaku johan diapit oleh Hazim (kiri) dan Keita (kanan)

Sementara itu jurulatih pasukan boling elit Perangsang Selangor, Razif Abu Bakar berkata, “Syabas dan tahniah di atas permainan cemerlang yang dipamerkan. Naqib telah berjaya mengharumkan negeri Selangor dan membuktikan walaupun berusia lebih muda dia mampu bersaing dan menandingi pemain-pemain lain yang jauh lebih berpengalaman dan bertaraf dunia. Saya percaya dengan daya usaha dan keazaman tinggi, Naqib mampu menjadi salah seorang bintang boling Malaysia pada suatu hari nanti”.

Atlet RSS juara boling antarabangsa 2

Razif, jurulatih pasukan boling elit Perangsang Selangor.

Selaku juara, Naqib berjaya membawa pulang trofi kejohanan serta wang tunai berjumlah RM12,000.00

Atlet RSS juara boling antarabangsa 3

Naqib bersama trofi dan cek bernilai RM12,000

Mula bermain boling sejak berusia 8 tahun dan di atas dorongan ibu bapa, Naqib berkata "Boling merupakan sukan yang paling saya minati. Atas kesedaran minat saya kepada boling, ayah telah membelikan bola boling dan saya mula mengikuti latihan bersama jurulatih Radhuan Rashid atau lebih dikenali sebagai 'Obi' yang telah mengajar saya selok belok permainan boling”.

Tiga tahun kemudian, remaja berbakat ini telah dijemput oleh Razif Abu Bakar, jurulatih di Kelab Boling Seintak untuk berlatih di bawah kelabnya. "Pada permulaan latihan, dia bermain secara 'putaran'. Selepas 2 bulan, kami berjaya melatih Naqib bermain cara 'cangkuk' dengan lengkok yang lebih konsisten. Tidak lama selepas itu, Naqib terpilih untuk menyertai Kejohanan Boling MSSD Selangor mewakili Daerah Petaling Perdana", kata Razif.

ends...


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Nik Ahmad Khusairi Nik Ibrahim
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 013-388 2977