Friday, 10 June 2022

Selangor Mega Job Fair tawar lebih 20,000 peluang kerjaya

  • 100 majikan, 10 agensi kerajaan sedia jawatan kosong dalam pelbagai sektor

Shah Alam: Lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan menerusi penganjuran program Selangor Mega Job Fair pada 11 dan 12 Jun ini di MBSA Convention Centre, Seksyen 13 dekat sini.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata program itu akan diadakan dalam skala besar berikutan negara sudah memasuki fasa endemik.

Beliau berkata, program yang bertujuan untuk membantu belia dan masyarakat mendapatkan pekerjaan itu terbuka kepada semua rakyat yang berada di Selangor dan luar Selangor khususnya kumpulan belia.

“Apa yang menarik mengenai penganjuran program ini adalah lebih daripada 100 majikan atau syarikat bersama 10 agensi kerajaan dan badan beruniform akan terbabit dengan lebih 20,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam pelbagai sektor.

“Antara sektor yang menawarkan peluang pekerjaan adalah makanan dan minuman; automatif; teknologi maklumat; pemborongan dan peruncitan; pentadbiran dan perkhidmatan; profesional dan teknikal; elektrikal; mekanikal; kewangan dan insurans takaful; pembuatan; seni reka dalaman; pendidikan; keusahawanan kosmetik; grafik serta perhotelan.

“Manakala, kelayakan akademik yang meliputi semua peringkat termasuk peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), sijil, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara syarikat yang menawarkan kekosongan jawatan adalah DRB-Hicom Berhad, Toyota Services Sdn Bhd, Daikin Malaysia Sdn Bhd, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan banyak lagi.

Katanya, program itu membabitkan agensi kerajaan iaitu Jabatan Imigresen; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Penjara; Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor (SPN) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin Othman menggalakkan pencari kerja untuk mendaftar laman sesawang www.selangorjobportal. com.my bagi mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor dan bersesuaian mengikut kelayakan.

“Saya berharap dengan penganjuran Selangor Job Fair ini dapat mengurangkan kadar pengangguran dan orang ramai sama ada yang berada di Selangor atau luar negeri ini khususnya belia diminta untuk tidak melepaskan peluang besar ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin Othman memaklumkan selain penganjuran Selangor Job Fair, pelbagai inisiatif sudah dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri untuk membuka peluang dan membantu masyarakat mendapat pekerjaan bagi mencapai hasrat untuk mengurangkan kadar pengangguran.

“Antaranya inisiatif yang digerakkan secara drastik bagi memastikan rakyat terus menerima manfaat dan dapat meningkatkan taraf ekonomi dengan menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri seperti penganjuran Program Jelajah Selangor Bekerja; platform pemadanan pekerjaan iaitu ‘Selangor Kerjaya’, yang menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan Roda Darul Ehsan (RiDE) iaitu program kerjasama dengan syarikat ‘P-hailing’ seperti GRAB, Food Panda atau DEGO serta Program Latihan Kemahiran Teknikal IKTISASS, (upskilling & reskilling)” katanya.

Katanya, kerajaan Selangor akan terus komited memastikan kadar pengangguran di Selangor akan kekal di bawah empat peratus di samping mempromosikan inisiatif kerajaan negeri untuk sampai kepada peringkat belia.