Wednesday, 02 March 2022

KPS sasar pertumbuhan pendapatan lebih lima peratus

SHAH ALAM - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), anak syarikat kerajaan negeri Selangor, menyasarkan pertumbuhan pendapatan lebih lima peratus pada tahun ini. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fariz Hassan berkata, peningkatan tersebut dipacu oleh usaha Kumpulan mempelbagaikan portfolio perniagaan kepada sektor infrastruktur dan utiliti berbanding fokusnya sebelum ini dalam bidang pembuatan.

Menurut beliau, buat masa ini, sektor pembuatan masih lagi menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan Kumpulan iaitu sekitar 85 hingga 90 peratus. "Keputusan mempelbagaikan pelaburan ini dibuat setelah syarikat memperkenalkan Program Transformasi Perniagaan (BTP) pada tahun 2016. "Sejak 2016, KPS telah melabur di beberapa syarikat pembuatan tempatan dan kini giat meneroka peluang yang sama di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran logo baharu KPS yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Setia City di sini kelmarin. Menurut Ahmad Fariz, antara syarikat yang telah dilabur KPS seperti Kaiserkorp Corporation Sdn. Bhd. (Kaiserkorp Corporation), King Koil, Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Toyoplas) dan beberapa syarikat lain.