Sunday, 20 October 2019

Perangsang Selangor anjur program kayuhan basikal untuk golongan cacat penglihatan

 

SHAH ALAM, 20 Okt -- Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) hari ini menganjurkan program 'Kayuhan Merentasi Daerah' sejauh 50 kilometer yang julung kali membabitkan golongan cacat penglihatan.

 

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Razali berkata, program anjuran Perangsang Selangor dengan kerjasama Kelab Berbasikal Clever Speda, disertai 70 orang mewakili Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam serta peminat sukan berbasikal.

 

Peserta cacat penglihatan itu menggunakan basikal khas ‘tandem’ atau berangkai.

 

"Kayuhan berbasikal bertemakan Explore With Your Heart (Jelajah Dengan Hati Anda) itu bermula dari Plaza Perangsang di sini sehingga ke Tadom Hill Resort, Banting.

 

"Ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal selain memberi peluang kepada komuniti mendekati golongan cacat penglihatan," katanya kepada pemberita selepas acara pelepasan program itu di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Presiden MAB Dr S. Hadi Abdullah dan Pengarah Program Sains Sukan UiTM Shah Alam, Hosni Hassan.

 

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata program di bawah inisiatif 'Sukan Untuk Semua' syarikat itu juga dilihat dapat memberi peluang kepada golongan cacat penglihatan berkenaan menyertai aktiviti berbasikal tersebut.

 

"Program ini turut membuktikan Perangsang Selangor badan korporat bertanggungjawab dan amat mementingkan kelestarian yang tidak terhad dalam bidang perniagaan tetapi kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan kelainan upaya dan kurang berkemampuan.

 

"Pihak MAB juga menyambut baik program ini dan turut berharap lebih banyak pihak dapat tampil menganjurkan program sama di masa akan datang," katanya.

 

http://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1781026