Wednesday, 24 July 2019

KPS dapat kelulusan pemegang saham ambil alih Toyoplas dengan nilai RM311.25 juta

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) mendapat kelulusan pemegang saham di mesyuarat agung luar biasa untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd (TMM) dan anak syarikatnya dengan nilai RM311.25 juta.

 

Dalam kenyataan, KPS berkata pengambilalihan itu dibuat melalui anak syarikatnya, Perangsang Dinamik Sdn Bhd.

 

Penilaian harga pembelian pengambilalihan itu adalah dalam penanda aras industri, dari segi nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EV/EBITDA) dan nisbah harga-pendapatan (P/E), masing-masing sebanyak 5.23 kali dan 8.66 kali.

 

Langkah itu akan dibiayai oleh campuran ekuiti dan pinjaman berjangka, masing-masing berjumlah RM161.25 juta dan RM150.0 juta, katanya.

 

Kumpulan itu berkata TMM mempunyai rangkaian kepakaran, melibatkan perniagaan acuan suntikan plastik dengan keupayaan bersepadu daripada fabrikasi acuan, acuan suntikan ketepatan dan proses untuk pemasangan penuh komponen atau produk.

 

TMM beroperasi daripada tujuh kilang pembuatan dengan lebih satu juta kaki persegi di tiga negara, termasuk Shanghai, Dongguan dan Nanning di China, Ulu Tiram, Muar dan Senai di Malaysia, dan Jakarta di Indonesia, sekali gus mempunyai asas pelanggan yang luas daripada pelbagai sektor.

 

Ia juga mempunyai pelanggan multinasional yang kukuh dan pelbagai daripada sektor komunikasi dan multimedia, automotif dan sektor peralatan pengguna.

 

Prestasi kewangan TMM Group dijangka mampan, didorong oleh prospek industri elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh di China dan Malaysia.

 

Prospek dijangka terus berdaya tahan, disokong oleh permintaan yang meningkat terhadap komponen plastik daripada pelbagai asas industri, termasuk pembungkusan, perkakasan rumah, automotif dan peranti perubatan.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Fariz Hassan berkata TMM memenuhi semua kriteria pelaburan dengan membuka potensi penuh perniagaan acuan suntikan plastik Perangsang Selangor.

 

"Ia dijangka menawarkan sinergi dalam kumpulan melalui kedinamikan perniagaan CPI (Penang) Sdn Bhd yang melengkapi TMM.

 

“Sinergi yang berpotensi antara lain dijangka daripada bidang sumber pelanggan dan gabungan pemerolehan bahan mentah, yang dijangka meningkatkan kecekapan perniagaan secara keseluruhan dan mengoptimumkan kos untuk kedua-dua entiti,” katanya.

 

Beliau berkata pengambilalihan itu menawarkan kumpulan kedudukan serantau yang lebih baik dan kedudukan jenama sebagai penyedia penyelesaian acuan suntikan plastik bersepadu.



Katanya pengambilalihan itu merupakan strategi yang kompetitif yang akan mewujudkan ekonomi yang mencatat keuntungan, meningkatkan kawalan ke atas penawaran dan rantaian nilai, serta membantu mengembangkan perniagaan sedia ada kumpulan dengan meneroka pasaran baharu.

 

"Kami optimis TMM Group akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Perangsang Selangor dari suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 dan seterusnya, akhirnya menjana pertumbuhan mampan dan pulangan yang lebih baik kepada semua pihak berkepentingan kami,” kata Ahmad Fariz.

 

http://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1750118