Wednesday, 27 November 2019

2,788kg sampah terperangkap di tebing Sungai Klang


Oleh Asyraf Muhammad | 27 November 2019

Sebahagian sukarelawan terlibat Program Pengindahan Jeti Nelayan dan pembersihan tebing Sungai Klang.


KLANG - Sebanyak 2,788kg sampah yang terperangkap berjaya dipungut di sepanjang tebing Sungai Klang oleh sukarelawan sebagai usaha memupuk kesedaran kepentingan memelihara alam sekitar dalam program Pengindahan Jeti Nelayan di sini.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata, kesemua sampah itu dipungut dalam penganjuran program yang bertujuan menyemai rasa tanggungjawab bersama-sama menjaga alam untuk jangka masa panjang.

 

"Selain mengutip sampah di tebing sungai, program yang dianjurkan di Jeti Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan II, Pelabuhan Klang itu juga turut membuat kerja-kerja membaiki kemudahan awam dan mengindahkan kawasan sekitar jeti.

 

"Salah satu inisiatif utama ke arah mencapai matlamat tersebut ialah dengan menggalakkan masyarakat untuk menyertai dan mengamalkan konsep kitar semula dan penyisihan sisa pepejal dalam rutin harian mereka kerana ia dapat memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 

Program dirasmikan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari itu disertai 150 sukarelawan.

 

Dalam pada itu Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, tanggungjawab memelihara kebersihan sungai perlu digalas semua pihak melibatkan kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat.

 

"Kami mahu orang ramai menganggap Sungai Klang seperti milik mereka dan menjaganya dengan baik.

 

"Oleh kerana itulah kami sangat mengalu-alukan usaha Perangsang Selangor membersihkan tebing sungai dan mengindahkan kawasan jeti di sini," katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/59275/EDISI/Selangor-KL/2788kg-sampah-terperangkap-di-tebing-Sungai-Klang