Sunday, 20 October 2019
22 OKU sertai kayuhan 50 km
Oleh Norzamira Che Noh | 20 Oktober 2019
SERAMAI 22 pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Malaysian Assosiation for the Blind (MAB) diberi peluang merasai pengalaman program kayuhan anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor). - Foto Saddam Yusoff
SHAH ALAM: Seramai 22 pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Malaysian Assosiation for the Blind (MAB) diberi peluang merasai pengalaman program kayuhan anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).
Program yang melalui kawasan dari Shah Alam ke Banting (Bukit Tadom Resort) itu turut mendapat kerjasama dari Kelab Berbasikal Clever Speda dan jenama fesyen, FR.
Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata program kayuhan bersama golongan OKU cacat penglihatan itu adalah pertama kali dianjurkan.
“Seramai 70 peserta menyertai kayuhan ini termasuk 22 pelajar dari MAB, 17 pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjadi jurupandu kayuhan serta 31 peminat sukan berbasikal.
“Perjalanan ke Bukit Tadom adalah sejauh 50 kilometer (km) dan peserta OKU kita akan menggunakan basikal tandem (basikal dua pengayuh).
“Program seperti ini bukan saja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat tetapi untuk memberi peluang kepada golongan istimewa ini untuk membabitkan diri dalam sukan berbasikal walaupun mereka menghadapi kesukaran kerana cacat penglihatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Plaza Perangsang, di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Presiden MAB, Dr S Hadi Abdullah, pemilik jenama FR, Fairuz Ramdan dan Pengarah Program Sains Sukan UiTM, Hosni Hassan.
Mohd Fauzi berkata, program berkenaan diadakan di bawah inisiatif ‘Sukan Untuk Semua’ iaitu program melestarikan kesedaran keselamatan berbasikal di jalan raya khusus bagi golongan OKU.
Sementara itu, peserta kayuhan, Muhamad Hanif Jaafar, 23, berkata beliau seronok dan teruja apabila dipilih untuk menyertai kayuhan berkenaan walaupun beliau cacat penglihatan.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai program seperti ini dan ia pengalaman baharu dalam hidup saya.
“Saya berharap kawan lain yang menyertai turut merasa gembira kerana walaupun tidak dapat melihat, kami diberi peluang merasai pengalaman menyertai program kayuhan basikal,” katanya.