Tuesday, 04 October 2016

Piala Raja Muda Selangor Cungkil Bakat Pemain Bola Sepak B-12

SHAH ALAM: Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-29 yang akan bermula pada 5 Oktober ini merupakan pentas terbaik bagi mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun negeri Selangor.

Menurut Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir berkata, “Matlamat utama kejohanan adalah untuk menggilap bakat anak-anak muda dari peringkat akar umbi agar dapat diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi di dalam sukan bola sepak”.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim disaksikan oleh Pengerusi Kejohanan, YDH Dato’ Emran Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Ahmad Fariz Hassan bertempat di Stadium Mini KPM, SMK USJ 23, Subang Jaya.

“Pemain-pemain yang telah dikenal pasti mempunyai potensi akan diserap ke sekolah sukan untuk mendapatkan latihan dan bimbingan sewajarnya. Hanya Selangor yang menganjurkan kejohanan seperti ini bagi mendapatkan pemain terbaik agar dapat mewakili pasukan negeri suatu hari nanti”, tambah Dato’ Emran.

Kejohanan kali ini bakal melibatkan seramai 576 pemain daripada 32 pasukan iaitu 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah dari PPD Petaling Utama. Pasukan-pasukan akan terbahagi kepada 8 kumpulan melalui proses undian.

Perlawanan akan berlangsung secara liga dimana 2 pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan kemuncak adalah perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 22 Oktober 2016.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali ke-4 berturut-turut. Majlis perasmian dan penyampian cek tajaan bernilai RM100,000 telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Perangsang Selangor, Mustaffa Kamil Ayub.

siaran akhbar perasmian PRMS 4Okt16

Mustaffa (3 dari kiri) menyerahkan cek tajaan bernilai RM100,000 kepada Dato’ Emran.

Johan Piala Raja Muda Selangor bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 trofi dan sijil manakala naib johan RM3,000, ke-3 RM2,000 dan tempat ke-4 RM1,000 beserta pingat dan sijil. Selain itu, lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan menerima jersi tajaan Perangsang Selangor.

Pada perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih, pasukan juara bertahan Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 berpesta gol apabila membelasah pasukan tuan rumah SK Seksyen 18, 5-0. Kapten pasukan, Muhammad Fareez Iqhmal Nazarudin menjadi wira dengan menyumbat dua gol pada minit ke-15 dan ke-49 perlawanan sementara tiga lagi jaringan disumbangkan oleh Mizan Irfan Mohd Faizal minit ke-14, Mohamad Alif Hakimi Mohd Shabuddin minit ke-39 dan Muhammad Adib Mohamad Fairuz pada minit ke-46 perlawanan.

siaran akhbar perasmian PRMS 4Okt16 2

Pemain dan jurulatih SK Seksyen 20 meraikan kejayaan merangkul Piala Sumbangsih dengan menewaskan SK Seksyen 18, 5-0.

Sekian…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Shahrul Izad Yahya
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Tel : 012-2385866