Tuesday, 10 October 2017
Piala Raja Muda Selangor Medan Cungkil Bakat Pemain Remaja
Pemain dan jurulatih SK Sri Kelana meraikan kejayaan merangkul Piala Sumbangsih dengan menewaskan SK Taman Universiti 2-1 menerusi sepakan penalti.
SHAH ALAM: Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-30 tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) yang telah bermula pada 10 Oktober lalu merupakan medan terbaik bagi mencungkil bakat baharu pemain bola sepak bawah 12 tahun negeri Selangor.
Menurut Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir berkata, “Kejohanan ini merupakan cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Matlamat utama kejohanan adalah untuk menggilap bakat anak-anak muda dari peringkat akar umbi agar dapat diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi di dalam sukan bola sepak”.
“Pemain-pemain yang telah dikenal pasti mempunyai potensi akan diserap ke sekolah sukan untuk mendapatkan latihan dan bimbingan sewajarnya”, tambah Dato’ Emran.
Kejohanan kali ini masih mengekalkan penglibatan seramai 576 pemain daripada 32 pasukan iaitu 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah dari PPD Petaling Utama. Pasukan-pasukan terbahagi kepada 8 kumpulan melalui proses undian.
Perlawanan berlangsung secara liga dimana 2 pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua seterusnya ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan kemuncak adalah perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 18 November 2017.
Perangsang Selangor sekali lagi muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali ke-5 berturut-turut dengan tajaan bernilai RM100,000.
Kapten pasukan SK Taman Universiti memperkenalkan pemain kepada Ketua Pegawai Operasi Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin (ketiga dari kanan) dan diiringi oleh Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir (kanan).
Johan Piala Raja Muda Selangor bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM4,000, piala kejohanan, pingat dan sijil manakala naib johan RM3,000, ke-3 RM2,000 dan tempat ke4 RM1,000 beserta pingat dan sijil. Selain itu, lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan menerima jersi tajaan Perangsang Selangor.
Pada perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih, tuah berpihak kepada pasukan tuan rumah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana yang berjaya menumpaskan juara edisi lalu SK Taman Universiti menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 setelah tamat masa penuh perlawanan. Pemain tengah simpanan, Khairul Dzulfarhan Jeny Nurdi (jersi nombor 8) menjadi wira pasukan apabila sepakannya gagal diselamatkan penjaga gawang SK Taman Universiti, Muhammad Afiq Khairizal Abdullah seterusnya memberi kemenangan kepada SK Sri Kelana dengan keputusan 2-1.
Tamat…\
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi