Friday, 12 July 2019
Piala Dato' Mokhtar Dahari: SMK Tinggi Kajang Julang Kejuaraan Kali Ketiga
12 JULAI 2019, SUBANG JAYA – Edisi ke-6 Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menyaksikan SMK Tinggi Kajang muncul juara buat kali ketiga apabila berjaya mencatat kemenangan bergaya menewaskan SMK Seksyen 7 Shah Alam dengan jaringan 3-0 di perlawanan akhir yang telah berlangsung di Stadium Arena, Majlis Perbandaran Subang Jaya. Sebelum ini, SMK Tinggi Kajang pernah menjulang trofi sama pada 2015 dan 2016.
Penganjuran Kejohanan Piala Dato' Mokhtar Dahari (PDMD) telah mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada 32 pasukan bertanding yang terdiri daripada seramai 576 pelajar-pelajar berusia bawah 18 tahun.
Pada awal kejohanan dianjurkan, PDMD hanya melibatkan sekolah menengah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama.Namun begitu, bermula 2015 hingga kini, kejohanan itu telah diperluaskan ke seluruh Selangor di mana tiga pasukan terbaik yang mewakili 10 PPD Selangor melalui Kejohanan Bola Sepak Majlis Sekolah Daerah Selangor (MSSD-U18) layak untuk menyertai PDMD.
Pengerusi Kejohanan PDMD, Dato’ Emran Kadir berkata, PDMD menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Kejohanan itu juga selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ingin melihat Selangor terus konsisten melahirkan pemain muda berbakat di peringkat akar umbi.
"Sebenarnya, banyak kelab-kelab bola sepak di luar sana memang menantikan kejohanan ini sebagai sumber untuk mereka mendapatkan pemain-pemain baharu daripada peringkat akar umbi. Malahan kejohanan tahunan ini amat dinantikan oleh pemain sekolah-sekolah di Selangor melalui kelayakan di peringkat daerah”.
"Sehingga siri ke-5 penganjuran kejohanan ini, dianggarkan seramai 115 pemain remaja telah dilahirkan dan kini bermain untuk kelab-kelab utama dalam negara ini".
Dalam pada itu, Pengerusi, Perangsang Selangor, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Jelasnya, sejak penganjuran edisi pertama sehingga kini, Perangsang Selangor telah mengambil inisiatif untuk menaja kejohanan PDMD buat kali ke-6 berturut-turut dengan dana berjumlah RM870,000 dibawah program Rangsangan Sukan Selangor dalam usaha untuk menggilap bakat pemain bola sepak remaja ke peringkat yang lebih tinggi.
"Untuk tahun ini, pihak kami juga telah menyuntik dana sejumlah RM150,000 untuk menaja kejohanan itu", ujar beliau.
Raja Shahreen turut menyatakan, pada tahun 2018 pelbagai program Sukan Untuk Semua di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bertujuan menggalakkan budaya bersukan dan menjalani gaya hidup sihat telah dianjurkan dengan penglibatan lebih 10,000 peserta dari seluruh Selangor.
Perangsang Selangor juga berharap agar dapat terus bekerjasama dengan penyediapenyedia latihan bagi meneruskan inisiatif pembangunan sukan di negeri ini menerusi sukan bola sepak, badminton dan renang. Disamping itu, pihaknya turut menganjurkan sebanyak lapan program ‘Water and Road Safety Awareness’ di sekolah-sekolah terpilih.
Sementara itu, di perlawanan tempat ketiga dan keempat, pasukan SMK Bandar Tasik Puteri berjaya menewaskan SMK Tengku Idris Shah dengan keputusan 1-0. Juara bagi kejohanan PDMD membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 beserta piala dan pingat, manakala tempat kedua RM7,000, ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000. Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
-- Tamat --
About Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (www.kps.com.my)
Diperbadankan pada 11 Ogos 1975, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ("Perangsang Selangor") adalah syarikat liabiliti terhad awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di bawah sektor Produk Industri & Perkhidmatan. Perangsang Selangor mempunyai pelaburan teras di dalam sektor Pembuatan serta perniagaan di dalam sektor Perdagangan, Pelesenan dan Infrastruktur. Selain mengukuhkan perniagaan kami untuk mengoptimumkan pulangan, Perangsang Selangor komited untuk memberikan sumbangan penting kepada pembangunan mampan dalam bidang ekonomi, alam sekitar dan sosial untuk faedah semua pihak berkepentingan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: