Monday, 28 February 2022

KPS Lancar Logo Baharu Susuli Transformasi, Untuk Ekuiti Jenama Yang Lebih Kukuh

  • Refleksi kepada budaya berprestasi tinggi, membentuk KPS menjadi sebuah syarikat pelaburan yang progresif, dinamik dan berdaya tahan
  • Identiti jenama baharu menepati aspirasi Kumpulan ke arah penentuan kedudukan yang lebih kukuh.

Shah Alam, Malaysia, 28 Februari 2022 -- Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ("KPS" atau "Syarikat" atau "Kumpulan", Bursa: 5843; Bloomberg: KUPS MK; Reuters: KPSB.KL) hari ini melancarkan penjenamaan semula melalui pelancaran logo yang baharu. KPS menampilkan perubahan jenama yang lebih strategik disasar untuk meningkatkan dan menguatkan lagi ekuiti jenamanya, disamping memberikan gambaran tepat kepada proses transformasi yang telah dilalui oleh syarikat dari aspek aspirasi perniagaan dan peralihan budaya kerja di mana kedua-duanya ini telah membantu menambah baik keseluruhan cadangan nilai dan visi masa depan KPS.

Transformasi Perniagaan & Budaya Kerja

KPS, atau Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, telah ditubuhkan pada 47 tahun yang lalu, pada 11 Ogos 1975. Sewaktu penubuhannya, visi korporat KPS adalah untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi negeri Selangor dalam sektor perlombongan dan hartanah. Beberapa dekad kemudian, visi tersebut telah berubah dan fokusmya pula telah beralih kepada aktiviti pelaburan, terutamanya dalam sektor infrastruktur dan utiliti, namun kegiatan perniagaannya masih terbatas kepada di dalam negeri Selangor sahaja.

Pada tahun 2016 hingga ke tahun 2020, KPS telah melancarkan Rancangan Transformasi Perniagaan ("BTP"), di mana fokus operasi pelaburannya beralih kepada sektor pembuatan. Pelaksanaan BTP ini bertujuan untuk memastikan pertumbuhan secara menyeluruh dan dapat meningkatkan pegangan nilai pemegang sahamnya dengan memastikan aset yang diperolehi menghasilkan aliran tunai yang berterusan dalam sektor-sektor perniagaan berpotensi. Di samping itu, BTP juga menekankan keberkesanan kos dan mengutamakan pembangunan modal insan disamping meningkatkan budaya berprestasi tinggi dalam menjadikan KPS sebagai sebuah syarikat pelaburan yang lebih progresif, dinamik, dan lebih berdaya tahan.

KPS telah melalui pelbagai peringkat transformasi dari aspek strategi dan objektif pelaburan. Operasi pelaburan KPS telah beralih dari dikenali sebagai sebuah syarikat pengurusan aset di negeri Selangor kepada sebuah syarikat pelaburan yang mempunyai capaian pasaran global di dalam beberapa sektor strategik. KPS mempunyai visi untuk menjadi sebuah syarikat yang lebih berdaya tahan dan menggalakkan pertumbuhan perniagaan yang lestari dalam masa yang sama memastikan perniagaannya dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan penekanan pada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus, juga dikenali sebagai ESG.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif KPS, Ahmad Fariz Hassan, berkata:

"Walaupun syarikat kami telah banyak melalui transformasi dalam jangka masa beberapa tahun ini, jelas persepsi serta imej terhadap KPS tidak menunjukkan gambaran yang sewajarnya, ini telah mewujudkan ketidak samaan antara identiti jenama dan ekuiti jenama seperti yang sewajarnya. Logo baharu ini mempunyai unsur-unsur seperti kebolehpercayaan, progresif, dinamik dan berdaya tahan seiring dengan visi, misi dan nilai-nilai korporat KPS. Penjenamaan semula ini juga memberikan gambaran jenama KPS yang baharu secara dalaman dan juga luaran seiring dengan strategi perniagaannya kini lebih tertumpu kepada pertumbuhan yang lestari dan budaya berprestasi tinggi. Nilai teras KPS iaitu Pride, Respect, Integrity, Discipline dan Extra-Mile, akan membantu memacu aspirasi perniagaan Kumpulan yang lebih maju ke hadapan."

Elemen Logo Baharu KPS:

Logo Baharu: Logo yang menggunakan tipografi Avenir Next LT Pro ini membantu meningkatkan elemen kemodenan, bersifat dinamik, dan berdaya tahan disamping memberi gambaran cabaran-cabaran yang telah berjaya diatasi oleh KPS termasuk transformasi yang telah dijalankan dalam mendepani dalam arena perniagaan baharu yang lebih global. Pemilihan tipografi ini juga membayangkan tahap penentuan perniagaan strategik KPS yang dikuatkan lagi oleh rangkaian global yang luas serta faktor kepelbagaian geografi, sektoral dan demografi, serta budaya. Gaya tipografi huruf kecil juga memberi gambaran keyakinan KPS yang telah lama bertapak sejak dari tahun 1975.

Elemen Logo: Piksel di dalam logo mewakili blok pembangunan perniagaan KPS. Manakala bentuknya yang mencondong ke atas melambangkan kejituan semangatnya sehingga berkembang dan berubah menjadi sebuah badan korporat yang lebih kukuh. Penyatuan piksel pula membawa maksud sinergi dan kekuatan perniagaannya serta melambangkan kemahiran kakitangannya dalam membangunkan perniagaan yang lestari melalui kecekapan prestasi kerja dan daya saing. Susunan piksel yang minimalis menggambarkan ciriciri DNA KPS yang progresif dalam aspirasi dan harapannya untuk mencapai kecemerlangan di masa hadapan.

Warna Jenama Baharu: Warna biru pekat yang digunakan untuk tipografi mencerminkan komitmen KPS untuk mengekalkan model perniagaan yang lestari dan dalam masa yang sama menggambarkan identiti KPS seperti integriti, amanah, dan profesionalisme yang tinggi. Ia juga mempunyai persamaan dengan ciri-ciri KPS seperti keteguhan, kebolehpercayaan, dan tadbir urus yang cekap. Manakala warna merah terang piksel melambangkan identiti KPS yang berani menyahut cabaran, responsif dan berkebolehan, yang mana ia juga membawa kepada erti kepada kekuatan semangat yang berterusan, optimistik dan keteguhan.

Aspirasi Kumpulan

Penjenamaan semula ini merupakan salah satu bukti kemampuan KPS untuk kekal relevan di arena perniagaan global dan dalam masa yang sama membuktikan keupayaannya mencapai harapan tinggi pihak berkepentingan. Ini turut menjadi titik perubahan yang membentuk DNA KPS yang lebih berdaya maju, dinamik, dan berdaya tahan. KPS yakin bahawa penjenamaan identiti baharu dan logo KPS ini akan meningkatkan ekuiti jenamanya serta dapat menambah baik pengalaman pelanggan, pelabur, dan pihak berkepentingan yang lain. Dengan penyelarasan dan pembentukan identiti seiring dengan visi dan misi terkini, KPS beraspirasi untuk mengukuhkan kedudukan strategik dan berkembang dengan lebih pesat serta mencapai peningkatan prestasi yang lebih baik.

-- Tamat --

Mengenai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (www.kps.com.my)

Diperbadankan pada 11 Ogos 1975, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ("KPS" atau "Syarikat" atau "Kumpulan") adalah sebuah syarikat pelaburan yang tersenarai di Pasar Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di bawah Sektor Produk & Perkhidmatan Perindustrian. KPS menjalankan pelaburan asas dalam sektor Pembuatan. Disamping objektif KPS untuk meningkatkan nilai pemegang saham dengan mengoptimumkan pulangan, KPS kekal komited untuk menyumbang ke arah pembangunan ekonomi, alam sekitar, dan sosial yang lestari.


Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Zul Mawardi
Perhubungan Pelabur, Kelestarian & Komunikasi
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: +603 5524 8444