Thursday, 24 September 2026

KPS Berhad Celik Initiative 2026 Perkasa STEM dan Terokai Pendekatan AI kepada Pelajar Menengah Rendah

  • Enam Negeri, 360 Pelajar dari 54 Sekolah, Memperkasa Generasi Inovator Masa Depan
  • 42 Prototaip STEM direka

 

Kuala Lumpur, 24 September 2026 – Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“KPS Berhad”) terus memperkukuh komitmennya dalam memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (“STEM”) serta melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing melalui KPS Berhad Celik Initiative. Komitmen ini diraikan menerusi penganjuran  Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir KPS Berhad Celik Initiative 2026 yang berlangsung di Hotel Maya, Kuala Lumpur. Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang hadir selaku Tetamu Kehormat, serta barisan pengurusan KPS Berhad dan Petrosains.

Sebagai inisiatif pelaburan sosial utama KPS Berhad, inisiatif ini diwujudkan bagi menyokong usaha negara meningkatkan penyertaan pelajar menengah rendah dalam bidang STEM selaras dengan aspirasi 60:40 Aliran Sains kepada Aliran Sastera yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (“KPM”). Melalui inisiatif ini, para pelajar didedahkan kepada kemahiran masa depan seperti pemikiran kritis, kreativiti, inovasi, penyelesaian masalah, dan penggunaan teknologi untuk menangani cabaran dunia sebenar. Berbeza dengan sumbangan komuniti yang bersifat jangka pendek, inisiatif ini memberi tumpuan kepada pelaburan jangka panjang dalam pembangunan ilmu, kemahiran dan kebolehpasaran pelajar pada masa akan datang.

Bagi edisi 2026, KPS Berhad Celik Initiative memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang diperkukuh melalui pengaturcaraan mikropengawal (microcontroller) dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence (“AI”)). Inisitif tahun ini melibatkan 360 pelajar daripada 54 sekolah merentasi enam negeri, iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan. Secara keseluruhannya, 42 prototaip inovasi berasaskan STEM telah berjaya dibangunkan oleh para peserta, membuktikan keupayaan generasi muda Malaysia dalam mengaplikasikan STEM dan teknologi baharu untuk menghasilkan penyelesaian yang kreatif, praktikal dan relevan.

Sepanjang tempoh pelaksanaan selama tujuh bulan, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi orientasi, bengkel Design Thinking, sesi bimbingan fizikal dan maya, pembangunan prototaip, Karnival STEM peringkat negeri, klinik pembentangan serta pertandingan akhir peringkat kebangsaan. Pendekatan ini menggalakkan pelajar mengenal pasti cabaran dalam komuniti mereka, memahami keperluan pengguna dan seterusnya membangunkan penyelesaian yang praktikal serta berimpak melalui aplikasi STEM dan teknologi baharu.

Pertandingan Akhir KPS Berhad Celik Initiative 2026 turut menyaksikan pasukan Kruss Makers 5 dari SMK Krubong, Melaka dinobatkan sebagai Juara KPS Berhad Celik Initiative 2026 menerusi inovasi bertajuk “Smart AI Flood Sensor.” Inovasi tersebut menghasilkan prototaip yang mampu mengesan kenaikan paras air banjir, sekali gus membantu komuniti mengurangkan kerugian akibat risiko banjir. Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh pasukan Nexora dari SMK Sungai Pusu, Selangor dan pasukan Rentara dari SMK Bandar Uda Utama, Johor. 

Sebagai rakan strategik initiatif, Petrosains terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembelajaran STEM melalui kepakarannya dalam komunikasi sains, pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendidikan STEM. Petrosains bertanggungjawab mereka bentuk modul pembelajaran, mengendalikan bengkel dan sesi bimbingan, serta membimbing peserta sepanjang perjalanan inovasi mereka daripada peringkat idea sehingga pembangunan prototaip. 

Selain itu, Petrosains turut membangunkan rangka kerja Monitoring, Evaluation and Learning (“MEL”) bagi mengukur keberkesanan inisiatif ini dari aspek peningkatan pengetahuan STEM, keyakinan diri, kerja berpasukan, pemikiran inovatif serta minat berterusan pelajar terhadap laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM.

Zul Mawardi, Ketua Pegawai Kelestarian, KPS Berhad, dalam ucapannya berharap agar inisiatif ini dapat terus memupuk minat terhadap bidang STEM, sekali gus melahirkan generasi innovator dan pencipta yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, KPS Berhad komited untuk terus memperluaskan capaian dan impak KPS Berhad Celik Initiative agar lebih ramai pelajar di seluruh negara mendapat manfaat daripada pendidikan STEM yang berkualiti. Selain memupuk minat pelajar terhadap STEM, KPS Berhad turut memberi tumpuan kepada daerah yang mencatatkan kadar penyertaan STEM yang lebih rendah bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pendidikan STEM yang berkualiti. 

“Melalui pendekatan ini, KPS Berhad berusaha mewujudkan peluang yang lebih inklusif kepada pelajar di kawasan luar bandar serta komuniti yang kurang mendapat akses kepada pendidikan STEM, termasuk golongan B40 dan komuniti yang kurang berkemampuan. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KPS Berhad untuk memastikan manfaat pendidikan STEM dapat dinikmati oleh lebih ramai pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokasi geografi mereka.”  

“Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi dalam sektor perindustrian dan pembuatan, kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan STEM merupakan pelaburan strategik jangka panjang. Melalui KPS Berhad Celik Initiative, kami bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada bidang STEM, malah menyediakan platform untuk mereka meneroka potensi serta mengembangkan minat dalam bidang teknologi melalui pelbagai aktiviti pembelajaran, bengkel praktikal dan pendedahan kepada dunia industri. Kami juga akan terus memperkukuh elemen teknologi masa hadapan seperti AI, inovasi digital dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam pelaksanaan inisiatif ini, sejajar dengan keperluan industri serta aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.” ujar beliau. 

KPS Berhad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPM atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam menjayakan inisiatif ini. Penghargaan turut diberikan kepada Petrosains atas komitmen dan kepakaran teknikal yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan KPS Berhad Celik Initiative sebagai platform pembangunan bakat STEM yang berimpak tinggi. 

KPS Berhad juga mengucapkan terima kasih kepada semua sekolah, guru, pelajar, mentor serta rakan-rakan strategik yang telah bersama-sama menjayakan program ini dan membantu membentuk generasi inovator masa depan Malaysia.

-End-


Mengenai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (www.kps.com.my)

Ditubuhkan pada 11 Ogos 1975, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“KPS Berhad”) ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di bawah Sektor Produk & Perkhidmatan Perindustrian. KPS Berhad mempunyai pelaburan teras dalam sektor Pembuatan. Di samping meningkatkan nilai pemegang saham melalui pengoptimuman pulangan, KPS Berhad komited untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi, alam sekitar dan sosial yang mampan. 

Nota Kepada Editor

Senarai Sekolah Bertanding:  

1. SMK Dato. Mustaffa, Selangor

2. SMK Saujana Utama, Selangor

3. SMK Bukit Kuching Tengah, Selangor

4. SMK Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur

5. SM Sains Selangor, Kuala Lumpur

6. SMK Jinjang, Kuala Lumpur

7. SMK Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur

8. SMK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur

9. SMK Indahpura 1, Johor 

10. SMK Dato Ali Haji Ahmad, Johor

11. SMK Bandar Uda Utama, Johor

12. SMK Taman Scientex, Johor

13. SMK Pasir Mas, Kelantan 

14. SM Ugama (Arab) Diniah, Kelantan

15. SMK Sungai Pinang, Kelantan 

16. SMK Ismail, Kelantan 

17. SMK Kubang Bemban, Kelantan

18. SMK Mengkuang, Pulau Pinang

19. SMK Bakti, Pulau Pinang

20. SMK Permai Indah, Pulau Pinang 

21. SMK Convent Butterworth, Pulau Pinang

22. SMK Taman Inderawasih, Pulau Pinang

23. SMJK Yok Bin, Melaka 

24. SM Sains Muzaffar Syah,Melaka

25. SMK Krubong, Melaka

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:  

Zul Mawardi
Investor Relations, Sustainability & Communications 
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: +603 5524 8444
 
 
Akil Mansiz  
Investor Relations, Sustainability &  Communications
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: +603 5524 8444