Sunday, 20 August 2017
Klinik Boling RSS Cungkil Bakat OKU
BANGI, HULU LANGAT, 20 OGOS 2017: Seramai 38 peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) telah menyertai klinik boling Sukan Untuk Semua di bawah program Rangsangan Sukan Selangor anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) bertempat di Ampang Superbowl, Bangi Gateway Mall, Bangi.
Menurut Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata “Program tanggungjawab sosial korporat tersebut diatur bagi memberi peluang kepada semua golongan masyarakat di negeri Selangor terutama golongan yang terpinggir mempelajari ilmu serta menggalakkan mereka menceburi bidang sukan”.
“Penyertaan kali ini melibatkan sejumlah 26 peserta lelaki dan 12 wanita daripada Kelab Tenpin Boling Para Bersatu bertujuan mededahkan mereka kepada asas permainan disamping mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan OKU khusus di dalam sukan boling” ujar Mohd Fauzi.
Jelasnya lagi, Perangsang Selangor telah melantik JAB Bowling Academy yang dikendalikan oleh jurulatih Mohd Razif Abu Bakar untuk melaksanakan sebanyak 18 program seumpamanya pada tahun ini dengan menyasarkan penglibatan seramai 972 peserta dari seluruh Selangor.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Musyrifah Elias, pula berkata, “Usaha Perangsang Selangor untuk memartabatkan golongan terpinggir dalam bidang sukan harus dipuji kerana di atas pencapaian mereka sejak kebelakangan ini ternyata atlet-atlet OKU juga mampu menyinar dan mengharumkan negara di temasya sukan antarabangsa”.
Program tersebut turut disertai oleh 3 atlet boling OKU Selangor iaitu Noor Lizah Salman, Zahidin Sharif dan Rosheedey Faizal Roslan yang telah terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Para Asian 2018 di Palembang, Indonesia pada November akan datang.
Rangsangan Sukan Selangor (RSS)
Program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) melibatkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah yang melibatkan perbelanjaan dana bernilai RM5.1 juta sejak tahun 2011.
Matlamat utama program adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan golongan terpinggir serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.
Program ‘Sukan Untuk Semua’ di bawah RSS telah bermula sejak tahun 2014 dengan melibatkan seramai 13,873 peserta di dalam lapan jenis sukan iaitu boling (819), renang (3,176), badminton (1,137), berbasikal (890), bola sepak (989), skuasy (429) serta dua sukan yang baru dilantik pada 2016 iaitu Sepak Takraw (515) dan Memanah (612) menerusi 104 program yang telah dilaksanakan di seluruh daerah negeri Selangor. Bilangan ini termasuk Kejohanan Piala Raja Muda Selangor (808 pada tahun 2014, 876 pada tahun 2015 dan 926 pada tahun 2016) dan juga Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari (844 pada tahun 2014, 896 pada tahun 2015 dan 956 pada tahun 2016).
Bagi tahun 2017, Perangsang Selangor telah memperuntukkan dana bernilai RM1.45 juta bagi melaksanakan sejumlah 90 program atau klinik Sukan Untuk Semua merangkumi boling (18 program), renang (8 program), badminton (8 program), berbasikal (14 program), skuasy (6 program), sepak takraw (9 program), memanah (13 program) dan bola sepak (10 program) serta penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor (bawah 12 tahun) dan Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari (bawah 18 tahun).
Tamat…\
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi