Sunday, 03 September 2017
Kayuhan Santai Merdeka Bendung Gejala Sosial
Acara pelepasan peserta Kayuhan Santai Merdeka di Tapak Pasar Malam, Kampung Delek Kiri, Klang.
KLANG, 3 SEPTEMBER 2017: Seramai lebih 300 peserta telah menyertai Program Kayuhan Santai Merdeka, di bawah program Sukan Untuk Semua, Rangsangan Sukan Selangor (RSS) anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) bertempat di Kampung Delek Kiri, Klang.
Menurut Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata “Program kayuhan tersebut telah dianjurkan dengan kerjasama Clever Speda bagi membendung gejala sosial di mana baru-baru ini rakyat di negeri Selangor dikejutkan dengan berita remaja di kampung sekitar ini yang terlibat dengan perlumbaan basikal haram”.
“Di samping itu, kami juga telah memilih tema sambutan Hari Kebangsaan agar semua peserta yang terlibat terutama golongan remaja dapat menghayati serta menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi selama 60 tahun”, jelas Mohd Fauzi.
Ujarnya lagi, “Selain memberi galakkan kepada setiap lapisan masyarakat di sekitar Klang untuk melibatkan diri di dalam aktiviti sihat, mereka turut berpeluang menonjolkan kreativiti dengan menghias serta memperagakan keunikan basikal masing-masing dan memenangi hadiah-hadiah menarik”.
Peserta Program Kayuhan Santai Merdeka turut diberikan tips keselamatan berbasikal oleh bekas pelumba basikal negara dan kini merupakan jurulatih profesional Clever Speda, Hadi Putra Ismail.
“2017 merupakan tahun ke empat Perangsang Selangor bekerjasama dengan Clever Speda di bawah RSS dimana sebanyak 9 klinik berbasikal, 4 kursus dan 1 kejohanan bakal dianjurkan pada tahun ini dengan menyasarkan penglibatan seramai 820 peserta dari seluruh Selangor”.
Sejak 2014, Perangsang Selangor melalui program RSS telah berjaya melahirkan bakat baharu di dalam arena lumba basikal antaranya Muhsin Alredha Misbah, Mohd Fitri Sharil, Mohd Izdihilmi Shamsudin, Zamirul Adlisham Zulkefli, Nur Faseha Adila Mohd Yunus dan Nurkhairunnisatul Aina Mohd Fazli yang telah mewakili negeri Selangor dan Malaysia di beberapa kejohanan dalam dan luar negara.
Rangsangan Sukan Selangor (RSS)
Program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) melibatkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah yang melibatkan perbelanjaan dana bernilai RM5.1 juta sejak tahun 2011.
Matlamat utama program adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan golongan terpinggir serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.
Program ‘Sukan Untuk Semua’ di bawah RSS telah bermula sejak tahun 2014 dengan melibatkan seramai 13,873 peserta di dalam lapan jenis sukan iaitu boling (819), renang (3,176), badminton (1,137), berbasikal (890), bola sepak (989), skuasy (429) serta dua sukan yang baru dilantik pada 2016 iaitu Sepak Takraw (515) dan Memanah (612) menerusi 104 program yang telah dilaksanakan di seluruh daerah negeri Selangor. Bilangan ini termasuk Kejohanan Piala Raja Muda Selangor (808 pada tahun 2014, 876 pada tahun 2015 dan 926 pada tahun 2016) dan juga Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari (844 pada tahun 2014, 896 pada tahun 2015 dan 956 pada tahun 2016).
Bagi tahun 2017, Perangsang Selangor telah memperuntukkan dana bernilai RM1.45 juta bagi melaksanakan sejumlah 90 program atau klinik Sukan Untuk Semua merangkumi boling (18 program), renang (8 program), badminton (8 program), berbasikal (14 program), skuasy (6 program), sepak takraw (9 program), memanah (13 program) dan bola sepak (10 program) serta penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor (bawah 12 tahun) dan Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari (bawah 18 tahun).
Tamat…\
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi