Thursday, 19 July 2018

3 Agensi bergabung anjur kempen kesihatan dan derma darah

SHAH ALAM, 19 Julai 2018: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) dengan kerjasama Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Shah Alam dan Kelab Kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Shah Alam telah menganjurkan Program Cergas Sihat Perangsang Selangor bertempat di Plaza Perangsang, Shah Alam.

Ketua Pegawai Operasi, Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata program tersebut merupakan kali ke-2 diadakan khusus bagi meningkatkan kesedaran terhadap bekalan darah negara yang semakin berkurangan serta kepentingan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja Perangsang Selangor dan kakitangan Jabatan-jabatan Kerajaan di premis berkenaan.

“Program kali ini telah dimulakan dengan sesi senamrobik selama satu jam yang disertai seramai lebih 100 peserta terdiri daripada pihak pengurusan dan kakitangan diikuti ceramah kesihatan bertajuk “Penyakit kardiovaskular dan amalan pemakanan yang sihat” yang telah disampaikan oleh Dr Rosmawati Mohamed, Timbalan Pengerusi Kelab PERDIM Wellness”, jelas Suzila.

“Selain itu, warga kerja turut menyahut slogan ‘satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa’ dimana sejumlah 100 beg darah telah berjaya dikumpul bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan serta menambah simpanan tabung darah Pusat Darah Negara”.

“Inisiatif tersebut juga merupakan sebahagian daripada aktiviti berbentuk ‘Employee Engagement’ (penglibatan pekerja) di mana ianya bertujuan untuk menggalakkan kakitangan untuk sama-sama menjayakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat yang dilaksanakan syarikat selain mengumpul mata untuk direkodkan di dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) masing-masing”, ujar Suzila.

Seramai kira-kira 300 pengunjung termasuk kakitangan dan orang ramai telah hadir sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni ini. Turut hadir Pengarah Negeri Selangor, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Romli A Hamid dan Penilai Daerah Shah Alam, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Cawangan Shah Alam)

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-672 3632