Tuesday, 01 August 2017

100 Pelajar Orang Asal Dan Anak Yatim Sertai Klinik Badminton Anjuran Perangsang Selangor

siaran akhbar sukan untuk semua badminton (1) 1Aug17

PETALING JAYA, 1 OGOS 2017: Seramai 100 pelajar orang asal dan anak yatim telah mengikuti klinik badminton Sukan Untuk Semua anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) bertempat di Champion Arena, Kayu Ara.

Menurut Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata “Program tanggungjawab sosial korporat tersebut diatur bagi memberi peluang kepada semua golongan masyarakat di negeri Selangor terutama golongan yang terpinggir mempelajari ilmu serta menggalakkan mereka menceburi bidang sukan”.

“Penyertaan kali ini melibatkan pelajar-pelajar berusia dalam lingkungan 11 hingga 14 tahun daripada SK Sungai Melut dan SK Bukit Tampoi dari daerah Sepang, SK Bukit Lanjan, Petaling Jaya serta Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Gombak”, ujar Mohd Fauzi.

siaran akhbar sukan untuk semua badminton (1) 1Aug17 2

Pelajar-pelajar sedang mencuba untuk memasukkan bulu tangkis ke dalam balang.

Jelasnya lagi, Perangsang Selangor telah melantik J World Sports untuk melaksanakan sebanyak lapan (8) program seumpamanya pada tahun ini dengan menyasarkan penglibatan seramai 750 peserta. Siri pertama telah bermula pada bulan Mei yang lalu dimana sejumlah 46 peserta daripada National Autism Society of Malaysia telah mengikuti program yang dikendalikan oleh bekas pemain badminton kebangsaan, Jason Wong. Program seterusnya dijangka akan berlangsung pada 2 Ogos’17 bersama dengan warga emas disini.

siaran akhbar sukan untuk semua badminton (1) 1Aug17 3

Sementara itu, Pengasas Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Yusof Noordin pula berkata, “Kami amat bersyukur kerana terdapat badan korporat seperti Perangsang Selangor yang prihatin terhadap nasib golongan anak yatim. Selain berpeluang untuk bermain di gelanggang yang serba lengkap, mereka juga dapat mempelajari kemahiran asas badminton daripada jurulatih profesional disamping menjalani gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan”.

Program ‘Sukan Untuk Semua’

Program ‘Sukan Untuk Semua’ merupakan sebahagian daripada program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) melibatkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.45 juta bagi tahun 2017. Jumlah keseluruhan dana yang telah dibelanjakan menerusi RSS dari 2011 hingga kini adalah RM5.1 juta.

Matlamat utama program adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan pelajar dan golongan belia serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.

Program ‘Sukan Untuk Semua’ telah bermula sejak tahun 2014 dengan melibatkan seramai 13,873 peserta di dalam lapan jenis sukan iaitu boling (819), renang (3,176), badminton (1,137), berbasikal (890), bola sepak (989), skuasy (429) serta dua sukan yang baru dilantik pada 2016 iaitu Sepak Takraw (515) dan Memanah (612) menerusi 104 program yang telah dilaksanakan di seluruh daerah negeri Selangor. Bilangan ini termasuk Kejohanan Piala Raja Muda Selangor (808 pada tahun 2014, 876 pada tahun 2015 dan 926 pada tahun 2016) dan juga Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari (844 pada tahun 2014, 896 pada tahun 2015 dan 956 pada tahun 2016).

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-672 3632