Thursday, 23 May 2019

Muktamad perjanjian Toyoplas di EGM Julai ini

Norhayati Umor | 23 Mei 2019

 

 

SHAH ALAM, 23 MEI: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor), dijangka akan memuktamadkan pengambilalihan Toyoplas Manufacturing (Malaysia) menerusi undian kelulusan daripada pemegang sahamnya.

 

Pengerusinya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, undian berkenaan akan dipohon pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada Julai ini.

 

“Kita sudah memeterai perjanjian perkongsian jualan bersyarat dengan Toyoplas Consolidated Ltd bagi tujuan pengambilalihan itu sebelumnya.

 

“Pengambilalihan Toyoplas dan undiannya akan dibuat bagi perjanjian itu pada EGM akhir Julai ini,” katanya dalam sidang media selepas AGM diadakan di Pusat Konvesyen Shab Alam, di sini.

 

Raja Shahreen berkata, pengambilalihan itu membuka potensi sepenuhnya perniagaan acuan suntikan plastik bersepadu terbabit.

 

Terdahulu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan berkata, anak syarikat Perangsang Dinamik Sdn Bhd, mengambil alih keseluruhan kepentingan dana firma itu pada pertimbangan tunai RM311.25 juta.

 

Katanya, pembelian syarikat pengeluar produk plastik itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi gabungan ekuiti dan pinjaman berjadual, masing-masing sebanyak RM161.25 juta dan RM150 juta.

 

“Urus niaga itu adalah yang kedua bagi Perangsang Selangor, namun kemasukan lebih besar dalam perniagaan acuan suntikan plastik selepas CPI (Penang) Sdn Bhd.

 

“Selain pengambilalihan ini yang merangsang peningkatan nilai dan penjanaan tunai, Toyoplas Manufacturing dipilih bagi kecemerlangan kualitinya,” katanya.

 

 

Toyoplas Manufacturing mengendalikan operasi tujuh kilang pembuatan meliputi kawasan seluas satu juta meter persegi di tiga negara iaitu Shanghai, Dongguan dan Nanning di China; Ulu Tiram, Muar dan Senai di Malaysia; dan Jakarta di Indonesia.

 

Apabila pengambilalihan itu selesai, Toyoplas Manufacturing dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Perangsang Selangor mulai suku ketiga berakhir 30 September ini dan seterusnya.

 

https://selangorkini.my/2019/05/muktamad-perjanjian-toyoplas-di-egm-julai-ini/