Monday, 28 February 2022
KPS: Untung meningkat RM56.19 juta bagi kewangan 2021
KUALA LUMPUR: -Keuntungan bersih Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021 meningkat kepada RM56.19 juta daripada RM34.12 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020. Hasil meningkat 23 peratus kepada RM1.33 bilion daripada RM1.08 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada sabtu. “Prestasi kukuh ini adalah bukti pelaksanaan strategik pelan penciptaan nilai dan komitmen gigih kakitangannya, kedua-dua faktor ini telah mengukuhkan asas kumpulan,” katanya.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata bagi tempoh terdekat KPS akan berpandukan kepada pembangunan petunjuk sosioekonomi yang mungkin mempunyai kaitan dengan kemajuan rancangan penciptaan nilainya pada masa hadapan. “Data daripada maklumat pasaran masih menyatakan bahawa rantaian bekalan dan mungkin tenaga buruh adalah cabaran yang berlanjutan hingga separuh kedua tahun 2022, syarikat itu menjangkakan kemajuan sederhana dalam tahun kewangan semasa, kekal tangkas dalam melaksanakan strategi perniagaan dan melindungi daya maju perniagaan kumpulan itu dalam persekitaran operasi yang tidak menentu dan kompleks.
“Ini antara lain adalah pengimbangan semula perniagaan sedia ada, memanfaatkan peluang yang muncul serta memastikan kedudukan semula produknya yang kompetitif,” katanya. Ahmad Fariz berkata kumpulan itu juga akan berusaha untuk meneruskan mekanisme perubahan kos, menjalankan rancangan pengeluaran dan material, mempercepatkan pembuatan dan meneruskan pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi.- Bernama