Wednesday, 18 September 2019

KPS komited hijaukan bumi

 

18 September 2019

 

Suzila (dua dari kanan) bersama Amran (tiga dari kanan) menyiram pokok yang ditanam sempena pelancaran program berkenaan di Taman Bunga Raya, Johor Bahru Ahad lalu.

 

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) membuktikan mereka adalah sebuah syarikat korporat yang mementingkan aspek pemuliharaan alam sekitar dengan usaha menanam sebanyak 100 pokok.

 

Usaha dijayakan menerusi Program Eco Frenz Perangsang Selangor 2019 bersama anak syarikatnya, Century Bond Berhad (CBB) di Taman Bunga Raya di Johor Bahru, Ahad lalu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran orang awam berhubung pemeliharaan alam sekitar.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata, sebanyak lima spesis pokok iaitu ketapang, semarak, api, jancaranda dan bunga raya dipilih untuk menghiasi taman rekreasi berkenaan.

 

“Pemilihan pokok-pokok ini diyakini sesuai dengan hasrat kita untuk menghijaukan taman rekreasi awam yang mana kali ini ia diuruskan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

“Sebagai badan korporat bertanggungjawab, Perangsang Selangor sentiasa komited dalam memastikan kelestarian dalam aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial.

 

“Justeru, program bercirikan pendidikan, Eco Frenz ini adalah terjemahan yang mahu kita tonjolkan khusus untuk semua masyarakat dalam bersama-sama memelihara keindahan alam sekitar,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri program berkenaan di Johor Bahru.

 

Hadir bagi menyempurnakan program, Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman.

 

Suzila berkata, program Eco Frenz dianjurkan kali ini juga merupakan kali pertama diadakan di luar Selangor selain akan dibuat secara berterusan di negeri-negeri lain selepas ini.

 

“Kita memilih Johor kerana program ini turut dibantu CBB yang mana merupakan anak syarikat kita yang terlibat dengan perniagaan pembuatan pembungkusan bersepadu berasaskan kertas di Senai,” katanya.

 

Peserta Explorace Eco Frenz Perangsang Selangor 2019 turut menanam pokok sebagai sebahagian daripada tugasan pertandingan itu.

 

Program terbabit turut diserikan dengan penglibatan kira-kira 100 peserta terdiri daripada komuniti setempat dan agensi seperti MBJB, Jabatan Alam Sekitar serta Kelab Media Johor (KMJ).

 

Program terbabit turut diserikan dengan penglibatan kira-kira 100 peserta terdiri daripada komuniti setempat dan agensi seperti MBJB, Jabatan Alam Sekitar serta Kelab Media Johor (KMJ).

 

Suzila menambah, pihaknya juga akan membuat pemantauan terhadap perkembangan anak-anak pokok yang ditanam berkenaan untuk memastikan semuanya dapat tumbuh dengan subur.

 

“Kita akan datang semula untuk memantau projek ini serta melihat hasilnya selepas enam bulan,” katanya.

 

https://www.bisnessinar.com/kps-komited-hijaukan-bumi/