Friday, 29 May 2020

Keuntungan Kumpulan Perangsang melonjak kepada RM3.14 juta

Bernama

 

29 May 2020

KUALA LUMPUR, 29 Mei -- Keuntungan bersih Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2020 melonjak kepada RM3.14 juta daripada RM1.17 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pendapatan meningkat 49 peratus kepada RM234.4 juta berbanding RM157.5 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Perniagaan pembuatan mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 75 peratus dalam tahun kewangan, menyumbang sebanyak RM185.1 juta kepada hasil kumpulan daripada RM105.6 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

"Pada RM185.1 juta, perniagaan perkilangan yang merangkumi Toyoplas, Century Bond Bhd, CPI (Pulau Pinang) Sdn Bhd dan King Koil Manufacturing West LLC menyumbang 79 peratus kepada hasil kumpulan," katanya.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata kesan daripada pandemik COVID-19 ke atas operasi perniagaan KPS dan anak syarikatnya pada suku ini kebanyakannya tertumpu pada Mac lepas.

 

"Pemulihan kumpulan sedang berlaku secara berperingkat khususnya membabitkan gangguan dalam rantaian bekalan serta pengurangan permintaan dari China, Indonesia, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) selepas aktiviti pengilangan di seluruh dunia merosot.

 

"Kami akan terus memantau prestasi perniagaan perkilangan kumpulan pada suku kedua selepas mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai kesan pandemik, sebaik sahaja permintaan akhir produk kami mencapai keseimbangan baharu," katanya.

 

Perancangan KPS membabitkan pelbagai senario perniagaan dan ia telah mengambil beberapa kawalan risiko.

 

Sebagai contoh, operasi, ia telah berhubung dengan pembekal untuk memastikan bekalan bahan mentah yang alternatif dan lebih mampan termasuk dengan pelanggan, agar mereka lebih memahami keperluan perkhidmatan penting mereka di bawah keadaan semasa.

 

Menurut Ahmad Fariz, syarikat subsidiarinya juga telah diselaraskan dengan pengilang masing-masing kontrak untuk perancangan pengeluaran yang optimum berdasarkan kapasiti pengeluaran yang terhad.

 

"Mengenai kewangan, KPS telah memulakan fokus strategik membabitkan langkah penjimatan, mengekalkan kecairan yang mencukupi bagi menyokong perniagaan kumpulan serta menyediakan fleksibiliti untuk mengharungi kesan pandemik yang mana tahap keseriusannya belum dikenal pasti," katanya.

 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata cabaran akan datang memerlukan tahap tindak balas dan daya tahan yang lebih utuh, dengan tumpuan kepada aspek operasi yang boleh dikawal kumpulan dalam usaha melindungi perniagaannya dalam persekitaran operasi yang tidak menentu, sama ada pada peringkat domestik atau global.

 

"Kami akan terus memastikan kesinambungan perniagaan KPS dan sentiasa melaksanakan pelan perniagaan kumpulan sambil mengekalkan kekuatan operasi dan keupayaan kewangan kami, seterusnya, memastikan penerusan penciptaan nilai di seluruh subsidiari kumpulan," kata Ahmad Fariz.

 


https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1846000