Wednesday, 11 November 2020

41 syarikat menang Anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2020

Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Sebanyak 41 syarikat Malaysia diumumkan sebagai pemenang Anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2020, anjuran bersama CSR Malaysia Publications dan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemampanan dan Korporat Malaysia.

CSR Malaysia dalam kenyataan hari ini menyenaraikan syarikat-syarikat Malaysia yang cemerlang dalam arena kemampanan korporat dan tanggungjawab sosial. 

Mendahului senarai penerima anugerah pada tahun ini berikutan kecemerlangan mereka secara keseluruhan ialah Tenaga Nasional Bhd, operator restoran McDonald’s Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor dan Bank Rakyat.

Penerima anugerah lain untuk tahun 2020 termasuk Sunway Group, Mah Sing Group Berhad, Flex Penang dan Flex Johor, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Swissen Trading and Transport, Picoms International University College, RHB Banking Group, Sarawak Energy Berhad, Hektar Property Services dan Kuala Lumpur Kepong Berhad. 

Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran berkata syarikat swasta adalah pemacu ekonomi negara dan berada di kedudukan yang baik untuk melakukan aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang signifikan.

“Sebanyak 41 syarikat Malaysia yang diberi penghormatan ini telah dipilih oleh panel hakim yang berkaliber mewakili badan korporat dan sosial dan kriteria penilaian adalah berdasarkan tujuan dan matlamat syarikat dalam inisiatif CSR, serta impak yang dihasilkan dan kekerapan mengadakan program CSR,” katanya.

Great Eastern Life Assurance menerima anugerah itu kerana meningkatkan taraf kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. Turut menerima anugerah ialah Kenanga Investment Bank, Getha (1969) Sdn Bhd, 7-Eleven Malaysia, Kwantas Corporation Bhd, Canon Marketing Malaysia, Heineken Malaysia Bhd, Federal Express Services, Homevest Capital dan Al-Ikhsan Sports. 

Kumpulan farmasi terkemuka Malaysia Pharmaniaga Berhad bersama Celcom Axiata Berhad, WCT Holdings Berhad, Micron Semiconductor Malaysia, Manulife Holdings Berhad, Mondelez International Malaysia, BE International Marketing, Smart SF, Serba Dinamik Holdings Berhad, ABM Fujiya Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, Golden Pharos Berhad, E-Idaman, PMB Investment Berhad, Warisan TC Holdings Berhad, KPMG dan Kumpulan Syarikat Sri Ternak juga berjaya memasuki senarai. 

"CSR Malaysia turut menyenaraikan lima yayasan dan perusahaan sosial yang cemerlang dalam kerja-kerja amal yang dijalankan pada 2019 dan mereka terdiri daripada LeapEd Services Sdn Bhd, Great Heart Charity, Yayasan Pahang, Ronald McDonald House Charities Malaysia dan Yayasan Bank Rakyat," katanya. 

Pengarang Urusan dan Pengerusi Bersama CSR Malaysia, Lee Seng Chee berkata syarikat dan organisasi perlu menggalakkan ekonomi yang mampan dengan membantu masyarakat terpinggir dan menjalankan usaha-usaha memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang. 

Katanya aspirasi korporat Malaysia perlu menjangkaui bukan sahaja keuntungan atau membina bangunan atau infrastruktur bertaraf dunia.

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1900147