Friday, 26 April 2019

32 pasukan berentap rebut Piala Dato' Mokhtar Dahari

 

Roshlawaty Raieh | 26 April 2019

 

Pengurus pasukan dan jawatankuasa kejohanan selepas berakhirnya Mesyuarat Pengurus Pasukan & Cabut Undi Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari Edisi Ke-6/2019.

 

SHAH ALAM - Sebanyak 32 daripada 250 pasukan bawah 18 tahun bakal berentap bagi merebut gelaran juara Piala Dato’ Mokhtar Dahari, tidak lama lagi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Bolasepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari, Datuk Emran Kadir berkata, perlawanan yang akan bermula 15 Jun depan, membabitkan 800 pemain dari seluruh Negeri Selangor.

 

“Kita akan mula 15 Jun dengan merebut Piala Sumbangsih. Kemudian, pusingan awal akan berlangsung 17 Jun hinggalah ke perlawanan akhir pada 12 Julai.

 

“Dua pasukan terbaik akan mara ke perlawanan akhir 12 Julai nanti di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual GPSBestari sebelum berlangsungnya Mesyuarat Pengurus Pasukan & Cabut Undi Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari Edisi Ke6/2019, di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

 

Mesyuarat berkenaan dihadiri 40 pengurus pasukan yang terdiri kalangan guru.

 

Turut hadir beberapa jawatankuasa pengelola kejohanan.

 

Kejohanan Bolasepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari dianjurkan Jawatankuasa Induk Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

 

Sekolah yang berjaya ke pertandingan akhir adalah SMK Dato’ Harun Tanjung Karang, SMK Seksyen 24 (2) Shah Alam, SMK Seksyen 9 Shah Alam, SMK Seksyen 7, Shah Alam, Kolej Vokasional Shah Alam, SMK Seksyen Sebelas U16, SMK Tengku Idris Shah Kapar, SMK Meru, Kapar, SMK Pandamaran Jaya dan SAMT Hisyammudin Kg Jawa.

 

Seterusnya, SMK Tinggi Kajang, SMK Abdul Jalil, SMK Cheras Jaya, SMK Bandar Baru Sungai Long, SMK Taman Melawati, SMK Bandar Tasik Puteri, SMK Seri Kundang, KV Sungai Buloh, SMK Sultan Abdul Samad Petaling Jaya dan SMK (L) Bukit Bintang.

 

Selebihnya, SMK Bandar Sri Damansara, SMK Sultan Sulaiman Shah, SMK Saujana Utama, SMK Raja Muda Musa, SMK Seri Sepang, SMK Datuk Abu Bakar Baginda, SMK Sg Besar, SMKA Tun Rahah, SMK Kalumpang dan SMK Syed Mashor.

 

Dua pasukan lagi masih belum tersenarai kerana Pusingan Kelayakan sedang berlangsung.

 

Pasukan yang muncul Johan dan Naib Johan bagi pusingan itu, layak ke pertandingan akhir.

 

Kata Emran lagi, pasukan juara bagi Piala Dato’ Mokhtar Dahari bawah 18 tahun itu akan menerima RM10,000 berserta piala pusingan dan medal manakala naib juara menerima RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000.

 

“Penaja utama kejohanan ini iaitu Kumpulan Perangsang Selangor menaja sebanyak RM250,000 untuk 2 kejohanan iaitu kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari bawah 18 sebanyak RM150,000 dan Kejohanan Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor bawah 12 sebanyak RM100,000,” katanya.

 

Dalam pada itu, Jawatankuasa Induk Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari akan menyumbang sebanyak RM1,000 kepada 32 pasukan yang mara ke pertandingan akhir.

 

“Dengan bantuan ini, diharapkan ia dapat membantu mereka dari segi kos pengangkutan,” ujarnya.

 

Piala Dato’ Mokhtar Dahari adalah platform terbaik mencungkil bakat pemain bola sepak yang berpotensi untuk diketengahkan bakatnya.

 

“Kita harap dapat lahirkan lebih ramai bakat baru dalam arena bola sepak selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ingin melihat Selangor konsisten melahirkan pemain berbakat,” katanya.

 

https://www.gpsbestari.com/berita/selangor/32-pasukan-berentap-rebut-piala-dato-mokhtar-dahari-1.925421