Wednesday, 25 September 2019

Perangsang Selangor dan KDEB Waste Management Sdn Bhd Memberi Pendedahan Berkenaan Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Pulau Ketam

PULAU KETAM, 25 September 2019 – Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berkerjasama menganjurkan program “Re-Cycle & Waste Separation” yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Ketam, Pelabuhan Klang.

Seramai 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Perangsang Selangor dan KDEBWM menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial masyarakat (CSR) sebagai inisiatif kepada Program Pembangunan Komuniti Perangsang Selangor yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar melalui penerapan Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik, Perangsang Selangor, Encik Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata ; “Sebagai sebuah badan korporat yang bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian di dalam aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial, maka program Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal ini adalah bukti komited dan bersungguhnya Perangsang Selangor dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar”.

“Pendedahan berkenaan Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal kepada masyarakat di Pulau Ketam terutamanya generasi muda merupakan langkah terbaik dan memberi impak jangka panjang dalam menjamin masa hadapan yang lebih sihat dan jauh dari sebarang pencemaran yang semakin hari semakin membimbangkan dan turut memberi ancaman kepada hidupan yang lain”.

Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid Bin Asari selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor turut hadir memeriahkan program sekaligus menyampaikan ucaptama dan merasmikan program tersebut.

Turut menyampaikan ucapan ialah Encik Mohd Fauzi Mohd Ghazali bagi mewakili Perangsang Selangor dan Encik Ahmad Rizal Mohd Daud, Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEBWM mewakili KDEBWM. Majlis turut menyerahkan 3 set tong sampah kitar semula kepada En Chua Chua Tie selaku wakil penduduk Pulau Ketam.

Di majlis yang sama, Perangsang Selangor turut menyumbang RM 1,500 kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Ketam bagi tujuan pembelian alat siaraya memandangkan sekolah tersebut masih tidak memiliki kemudahan siaraya yang menyukarkan hebahan maklumat kepada semua pelajar.

Selain itu, penganjuran program ini juga dapat mengukuhkan hubungan strategik di antara Perangsang Selangor dan KDEBWM dimana kedua-dua pihak merupakan anak syarikat kerajaan negeri. Perangsang Selangor sentiasa menyambut baik dan menyokong programprogram seumpama ini yang memberi manfaat dalam penjagaan alam sekitar

Tamat

Mengenai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (www.kps.com.my)

Diperbadankan pada 11 Ogos 1975, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ("Perangsang Selangor") adalah syarikat liabiliti terhad awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di bawah sektor Produk Industri & Perkhidmatan. Perangsang Selangor mempunyai pelaburan teras di dalam sektor Pembuatan serta perniagaan di dalam sektor Perdagangan, Pelesenan dan Infrastruktur. Selain mengukuhkan perniagaan kami untuk mengoptimumkan pulangan, Perangsang Selangor komited untuk memberikan sumbangan penting kepada pembangunan mampan dalam bidang ekonomi, alam sekitar dan sosial untuk faedah semua pihak berkepentingan.