Thursday, 10 August 2017
Program Keselamatan Air Dan Pencegahan Lemas Untuk Pelajar SK Seksyen 6 Kota Damansara
KOTA DAMANSARA, 9 Ogos 2017: Program Keselamatan Air dan Pencegahan Lemas yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6, Kota Damansara, berjaya menarik minat kira-kira 1,380 pelajar yang telah mengikuti kempen yang dikendalikan Supersharkz Swim School.
Ketika ditemui di program berkenaan, Penolong Kanan Kokurikulum, SK Sekyen 6 Kota Damansara, Ramli Tausa, menjelaskan, “Kami amat mengalu-alukan program seperti ini kerana ia sangat baik bagi memupuk kesedaran tentang aspek keselamatan ketika berada di dalam air selain langkah-langkah untuk mengelakkan berlakunya kejadian lemas”.
“Selain itu, pelajar dan guru juga dapat mempelajari teknik asas bantuan kecemasan kerana bantuan awal seperti „CPR‟ adalah kritikal untuk menyelamatkan mangsa lemas”, tambah Ramli.
Jelasnya lagi, beliau memilih untuk mengisi jadual kokurikulum bagi pelajar sesi petang dan pagi dengan program tersebut kerana berpendapat ia amat bermanfaat bagi semua dan berharap agar ianya dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah yang lain.
Kempen kesedaaran tersebut merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) di bawah program „Sukan Untuk Semua‟, Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bagi sekolah-sekolah yang berminat untuk mendapatkan maklumat serta latihan kecemasan.
Sementara itu, Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam dan Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, “Kempen ini merupakan siri ketiga selepas dua program seumpamanya yang telah diadakan di SMK Seksyen 19, Shah Alam dan SK Bukit Beruntung 2 dengan penglibatan seramai 2,557 pelajar dan guru”.
“Bagi tahun ini, Perangsang Selangor akan menganjurkan sebanyak 4 siri kempen keselamatan dan pencegahan disamping klinik renang secara mingguan untuk kanak-kanak kelainan upaya di tiga lokasi iaitu Shah Alam, Kota Damansara dan Puchong serta Karnival Renang „I Can Swim‟ dengan menyasarkan sejumlah 5,200 penyertaan pelajar sekolah dari seluruh Selangor”, ujar Mohd Fauzi.
Tamat…\
‘Sukan Untuk Semua’
„Sukan Untuk Semua‟ merupakan sebahagian daripada program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor melibatkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.45 juta bagi tahun 2017. Jumlah keseluruhan dana yang telah dibelanjakan menerusi RSS dari 2011 hingga kini adalah RM5.1 juta.
Matlamat utama program adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan pelajar dan golongan belia serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.
Program „Sukan Untuk Semua‟ telah bermula sejak tahun 2014 dengan melibatkan seramai 13,873 peserta di dalam lapan jenis sukan iaitu boling (819), renang (3,176), badminton (1,137), berbasikal (890), bola sepak (989), skuasy (429) serta dua sukan yang baru dilantik pada 2016 iaitu Sepak Takraw (515) dan Memanah (612) menerusi 104 program yang telah dilaksanakan di seluruh daerah negeri Selangor. Bilangan ini termasuk Kejohanan Piala Raja Muda Selangor (808 pada tahun 2014, 876 pada tahun 2015 & 926 pada tahun 2016) dan juga Kejohanan Piala Dato‟ Mokhtar Dahari (844 pada tahun 2014, 896 pada tahun 2015 & 956 pada tahun 2016)
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi