Saturday, 22 October 2016
SK Taman Universiti Juara Piala Raja Muda Selangor
SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) - Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti, Seri Kembangan, Selangor muncul juara Piala Raja Muda Selangor dengan menewaskan SK Puchong Perdana 2-1 pada perlawanan akhir di padang Kelab Sukan SUK di sini, hari ini.
Hadiah berupa trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM4,000 disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Kejohanan bola sepak edisi ke-29 itu, yang bermula 5 Okt lepas, melibatkan 576 pemain bawah umur 12 tahun menerusi 32 pasukan dari 20 sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah PPD Petaling Utama
Perlawanan berlangsung secara liga di mana dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan kemuncak adalah perlawanan akhir yang berlangsung hari ini.
Perangsang Selangor menjadi penaja utama kejohanan itu dengan nilai tajaan RM100,000 tahun ini.
SK Puchong Perdana yang muncul naib juara menerima RM3,000, manakala SK Sri Kelana dan SK Seksyen 20 yang menduduki tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil.
Selain itu, lapan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir menerima jersi tajaan Perangsang Selangor.
Tengku Amir ketika ditemui pemberita bertitah kejohanan itu penting bagi generasi muda yang akan menjadi pelapis pemain bola sepak negeri pada masa depan.
Ditanya mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam pada 30 Okt ini, Tengku Amir menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 2-1 bagi Selangor.
"Kedah juga memburu Piala Malaysia. Jadi, tak boleh pandang ringan," titah baginda.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1294892