Monday, 22 October 2018

Kayuhan Amal Perangsang Selangor Santuni Masyarakat Asnaf

kayuhan amal perangsang selangor santuni masyarakat asnaf 4

Sebahagian peserta kayuhan amal Singgah Mesra Perangsang Selangor

SABAK BERNAM, 20 Oktober 2018 – Siri ke-4 Program Singgah Mesra Perangsang Selangor menyaksikan kehadiran hampir 200 peminat sukan berbasikal yang menyertai aktiviti Kayuhan Amal sejauh 32 kilometer. Kayuhan berkonsepkan ‘fun ride’ tersebut telah bermula dari Dewan Seri Nakhoda, Pekan Bagan Nakhoda Omar merentasi Kampung Sungai Tengar dan Kampung Parit Baharu.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Mohd Fauzi Mohd Ghazali menjelaskan program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat di bawah program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS) yang telah bermula sejak Julai lalu bertujuan memberi peluang kepada warga kerja mendekati masyarakat sambil menyantuni golongan asnaf dan kurang bernasib baik menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, ziarah, eco free market, program keagamaan, sukaneka dan sebagainya.

Mohd Fauzi berkata, “Daerah Sabak Bernam dipilih sebagai destinasi kali ini bertujuan merapatkan ukhwah serta mendekati penduduk dan masyarakat setempat sambil berkayuh mengelilingi kawasan kampung yang hijau dan persisiran pantai dengan menghirup udara segar jauh dari kesibukan kota”.

“Kami mahu menggalakkan warga kerja menjalani gaya hidup sihat menerusi aktiviti berbasikal. Dalam perjalanan kami juga telah singgah di rumah pakcik Rubadi Abas, seorang warga emas yang uzur dan terlantar sakit bagi membela nasibnya dengan menghulurkan bantuan kewangan”.

kayuhan amal perangsang selangor santuni masyarakat asnaf

Ketua Pegawai Kewangan, Perangsang Selangor, Zain Azrai Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Mohd Fauzi (dua dari kanan) menyantuni warga emas yang uzur sambil menghulurkan bantuan

“Di samping itu, kami turut menyerahkan bantuan peralatan berniaga seperti khemah, meja dan dapur kepada Adam, seorang saudara baharu agar beliau dapat memulakan perniagaan goreng pisang bagi menyara kehidupan keluarga”, jelas Mohd Fauzi.

kayuhan amal perangsang selangor santuni masyarakat asnaf 2

Kakitangan Perangsang Selangor dan peserta kayuhan bersama Adam (tengah) yang menerima sumbangan peralatan berniaga

Selain kayuhan amal, kakitangan Perangsang Selangor dan penduduk kampung juga terlibat di dalam pertandingan azan dan hafazan khusus untuk golongan remaja serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

kayuhan amal perangsang selangor santuni masyarakat asnaf 3

Ketua Kampung Bagan Nakhoda Omar, Abu Hassan Bidin (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan azan

Di program tersebut, seramai 18 individu asnaf terpilih dari kampung berkenaan turut menerima sumbangan wang tunai diikuti jamuan kenduri rakyat yang dihadiri kira-kira 300 pengunjung.

Program Kayuhan Amal dan Singgah Mesra Perangsang Selangor siri ke-4 telah dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sahabat Generasi Dinamik Malaysia (Genesis), ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bagan Nakhoda Omar, Clever Speda, Perangsang Cycling Team (PCT), Kota Raja Cycling Club (KRCC) dan akhbar Sinar Harian.

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-672 3632