Sunday, 29 October 2017

Media Dirai Melalui Pertandingan Badminton Jemputan Perangsang Selangor

siaran akhbar pertandingan badminton jemputan media 29Oct17

Pasukan NSTP muncul johan Pertandingan Badminton Jemputan Media Perangsang Selangor 2017.

PETALING JAYA, 29 OKTOBER 2017: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah menganjurkan Pertandingan Badminton Jemputan Media iaitu salah satu program ‘Sukan Untuk semua’ dengan kerjasama J World Sports bertempat di Champion Arena, Kayu Ara.

Menurut Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata “Program tanggungjawab sosial korporat tersebut diatur bagi mengeratkan silaturrahim dalam kalangan media, artis serta kakitangan Perangsang Selangor di samping dapat beriadah serta menjalani gaya hidup sihat”.

“Pertandingan badminton media mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan pasukan dari Mediaretis (gabungan artis dan RTM), Media Prima, New Straits Times Press (NSTP), SUTERA (artis), Sinar Harian dan Perangsang Selangor”

siaran akhbar pertandingan badminton jemputan media 29Oct17 2

Perlawanan di antara pasukan Mediaretis yang diketuai oleh Dato’ DJ Dave (dua dari kiri) menentang beregu Perangsang Selangor.

Pertandingan yang julung kali diadakan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran artis tanah air seperti Dato’ DJ Dave, Farawahida dan Shah Slam serta 10 pemain badminton remaja bawah 15 tahun negara dari Sekolah Sukan Bukit Jalil antaranya Muhammad Atef, Muhammad Affan, Nur Syaza, Tan Min Er dan Go Pei Kee”, tambah Mohd Fauzi.

Pertandingan yang telah diadakan secara liga tersebut telah dimenangi oleh pasukan NSTP yang berjaya membawa pulang piala pusingan, pingat, raket badminton serta wang tunai berjumlah RM1,600 manakala tempat kedua dimenangi pasukan Mediaretis yang menerima pingat, barangan sukan serta wang tunai berjumlah RM800. Tempat ketiga dimenangi oleh SUTERA menerima pingat dan barangan sukan yang telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Perangsang Selangor YB Sivarasa Rasiah dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, YB Elizabeth Wong.

Jelasnya lagi, Perangsang Selangor telah melantik J World Sports kendalian bekas pemain kebangsaan, Jason Wong untuk melaksanakan sebanyak lapan (8) program Sukan Untuk Semua pada tahun ini dengan menyasarkan penglibatan seramai 750 peserta.

Program telah bermula dengan beberapa siri klinik badminton pada bulan Mei yang lalu dimana ia berjaya menarik penglibatan hampir 200 peserta iaitu pelajar daripada National Autism Society of Malaysia (NASOM), anak yatim dari Rumah Amal Asnaf Al Barakh Gombak, pelajar orang asal dari SK Sungai Melut, SK Bukit Tampoi Sepang dan SK Bukit Lanjan serta warga emas dari sekitar Lembah Klang

Program ‘Sukan Untuk Semua’

Program ‘Sukan Untuk Semua’ merupakan sebahagian daripada program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) melibatkan lapan jenis sukan iaitu badminton, boling, renang, berbasikal, bola sepak, skuasy, sepak takraw dan memanah yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.45 juta bagi tahun 2017. Jumlah keseluruhan dana yang telah dibelanjakan menerusi RSS dari 2011 hingga kini adalah RM5.1 juta.

Matlamat utama program adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan pelajar dan golongan belia serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.

Program ‘Sukan Untuk Semua’ telah bermula sejak tahun 2014 dengan melibatkan seramai 13,873 peserta di dalam lapan jenis sukan iaitu boling (819), renang (3,176), badminton (1,137), berbasikal (890), bola sepak (989), skuasy (429) serta dua sukan yang baru dilantik pada 2016 iaitu Sepak Takraw (515) dan Memanah (612) menerusi 104 program yang telah dilaksanakan di seluruh daerah negeri Selangor. Bilangan ini termasuk Kejohanan Piala Raja Muda Selangor (808 pada tahun 2014, 876 pada tahun 2015 dan 926 pada tahun 2016) dan juga Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari (844 pada tahun 2014, 896 pada tahun 2015 dan 956 pada tahun 2016)

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-672 3632