Sunday, 19 November 2017

195 Peserta Sertai Kejohanan Lumba Basikal Ujian Masa Berpasukan Perangsang Selangor-MDKL 2017

siaran akhbar Kejohanan TTT Perangsang Selangor MDKL

Pengurus dan atlet lumba basikal pasukan Selangor (pemenang tempat pertama kategori Elit) bersama hadiah wang tunai dan piala pusingan.

MORIB: Seramai 195 atlet dan peminat sukan lumba basikal daripada 39 pasukan sekitar Lembah Klang serta Perak telah mengambil bahagian di dalam kejohanan Perangsang Selangor-MDKL Team Time Trial 2017 baru-baru ini.

Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada program Sukan Untuk Semua - Rangsangan Sukan Selangor (RSS) tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad bertujuan untuk memperluaskan ilmu berkaitan sukan berbasikal serta memberi peluang kepada umum untuk merasai pengalaman berlumba dalam acara berpasukan. Ia telah diurus selia oleh Clever Speda dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Menurut Ketua Penyelaras Kejohanan, Mohd Sabri Md Taib berkata, “Kejohanan lumba basikal ujian masa berpasukan sering dipertandingkan di peringkat SUKMA namun belum pernah dipertandingkan secara umum. Oleh itu, kami mendapat ilham untuk membawa satu kelainan dimana penggiat sukan berbasikal berpeluang untuk merasai cabaran berlumba di dalam satu pasukan menerusi kejohanan pertama seumpamanya di negara ini”.

“Selain itu, aspek pengurusan serta aturan strategi juga penting kerana setiap pasukan harus memastikan sekurang-kurangnya tiga pelumba berjaya menamatkan kayuhan sejauh 35 km bermula dari Pantai Morib menuju ke Jalan Tanjung Sepat Darat dan masa akan dicatat berdasarkan pelumba ketiga yang melepasi garisan penamat”, jelas Mohd Sabri.

siaran akhbar Kejohanan TTT Perangsang Selangor MDKL 2

Upacara pelepasan bertempat di Pantai Morib dan sebahagian aksi perlumbaan menuju ke Jalan Tanjung Sepat Darat.

Sebanyak 3 kategori dipertandingkan iaitu Elit (bagi atlet lumba basikal profesional atau bekas pelumba negeri dan negara), Terbuka (umum dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia) dan Masters/Veteran (bagi pelumba yang berusia lebih 38 tahun).

Di dalam kategori Elit, pasukan Selangor telah berjaya meraih tempat pertama dengan catatan masa 45m 52s, tempat kedua dimenangi oleh pasukan Jami Bike Centre dengan masa 47m 10s manakala pasukan Amaniz Elite ditempat ketiga mencatat 48m 01s.

Sementara itu, pasukan XLCT Shah Alam berjaya mengungguli kategori Terbuka dengan catatan masa 51m 02s. Mereka diekori rapat pasukan BJCC serta pasukan Pembangunan Perak di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatat masa 51m 05s dan 51m 13s.

Bagi kategori Masters/Veteran, pasukan dari Perak iaitu Setiawan Cycling Team berjaya menewaskan pencabar lain dengan catatan masa 50m 30s, pasukan Geng Pusing Taman di tempat kedua mencatat 50m 47s manakala pasukan Endurance OkOk meraih tempat ketiga dengan catatan masa 51m 09s.

Hadiah berupa trofi dan wang tunai bernilai RM1,200 bagi tempat pertama, RM800 kedua dan RM600 ketiga telah disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, YB Tuan Ir Mohd Haslin Hassan disaksikan oleh Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, Penolong Setiausaha MDKL, Miskon Karim serta Naib Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Selangor, Norazhar Sakiman

Tamat…\


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Mohd Fauzi Mohd Ghazali
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
T: 012-672 3632